Mesin Jahit Berhantu II

Sambungan dari yang lepas...

Mungkin aku tak cerita tentang abah aku. Abah cuma tidur rumah nenek 2 hari saja. Lepas hantar kami balik kampung, abah ikut kawan dia outstation sebab nak membantu. Kawan abah kontraktor. Abah memang tak biasa duduk rumah, mesti nak buat sesuatu. 

Aku ada cerita dekat abah tapi abah kata, “Jangan sampai adik ikut die!”. Masa abah cakap ni aku tak berapa paham. Aku ingat abah cakap macam ibu; jangan layan perasaan”. Rupanya abah tahu, sebab tu abah tak nak lama dekat kampung. Lagipun ni nenek belah ibu aku. Biasalah, mana ada menantu lelaki suka duduk rumah mentua lama-lama.

Lepas nenek aku campak pinggan ke lantai, aku memang bentak habis. Aku jerit kearah nenek sekuat hati sebab aku nampak makhluk tu belakang dia. Aku tahu bukan nenek yang marah tapi benda tu. Sorang perempuan tua rambut panjang! Muka dia bengis. Bengis sampai aku tak tahu nak huraikan macam mana. Walaupun masa tu tengahari. Benda tu wujud lepas aku baca ayat Qursi. Ibu pun nampak tapi ibu senyap tapi menangis.
Aku lari masuk bilik. Dalam bilik, aku tenung mesin jahit tu. Aku nampak mesin jahit tu guna jarum emas! Aku rasa unik sebab aku tak pernah jumpa jarum emas. Aku capai tudung dan keluar dari rumah nenek. Aku tak berapa tahu selok belok kampung ni, tapi aku bawak basikal ke rumah kawan sekelas aku. Aku mintak kawan aku bawak ke rumah ustaz yang ajar aku subjek agama dekat sekolah.
Sampai rumah ustaz, ustaz pelik tengok aku. Kawan aku pun cerita dekat ustaz apa yang aku alami dirumah nenek. Ustaz mula berubah muka. Aku tahu die seram. Aku tahu die sendiri terkejut. Tapi aku tak kira! Aku nak benda tu keluar dari rumah!
Ustaz bawa kami naik kereta ke rumah seorang imam. Aku tak kenal semua orang dekat kampung ni. Ustaz aku cakap pakcik tu imam. Pakcik tu mula tanya aku macam-macam soalan dan aku pun jawab.
Pakcik tu kata itu mungkin saka. Saka tu nak beralih tempat dan nenek aku dah tak larat nak jaga. Aku tanya pakcik tu, kenapa benda tu lebih agresif pada waktu malam di mesin jahit? Tapi aku disuruh balik dulu. Dia berikan air bacaan surah ruqyah. Aku pun ada hafal sikit surah-surah ruqyah sebab di sekolah lama dulu, memang kami disuruh hafal. Sampai rumah, nenek terlantar sakit. Aku tuang air yang pakcik tu bagi dalam cawan untuk nenek minum. Nenek pun minum.
Tahu apa yang jadi?
Nenek terus muntah jarum! Kalau orang santau biasanya keluar segala paku atau kaca, tapi nenek aku keluar jarum. bukan jarum biasa tapi jarum jahit yang besar. Jarum mesin yang warna emas pun ada. Banyak sangat ya Allah. Aku ngeri tengok nenek macam tu. Nenek umur 89 tahun, kudrat dia untuk muntah buatkan aku menangis. Ibu pun nangis sama.
Semakin hari semakin teruk. Aku tak boleh tidur sendiri sebab katil aku macam berat sebelah. Macam ada orang sebelah aku. Jadi aku tidur dengan ibu di bilik nenek sebab ibu jaga nenek. 

Lain pula ceritanya bila tidur bilik nenek. Setiap pukul 3 pagi, aku akan nampak pempuan tua tu hisap kaki nenek. Aku baca ayat Qursi dalam hati, cuba untuk tak buka mata. Kadang-kadang aku nampak arwah atok jalan-jalan dalam bilik nenek. Allah.. Hampir gugur jantung tapi aku bertahan. Aku genggam baju ibu sebab terlalu takut. Tiap kali benda tu hisap kaki nenek, nenek menjerit meracau. Aku jadi stress yang teramat. Benda sama berlaku untuk beberapa malam.
Aku perasan nenek akan sakit teruk bila malam. Jadi malam 3 hari selepas kejadian, aku dan ibu baca yasin sebelah katil nenek. Dari awal kami datang, nenek tak bagi kami baca yaasin sebab dia kata bising susah nak tidur. Tapi kali ni aku berkeras cakap dekat ibu untuk baca yasin sebelah katil nenek. Sangkaan aku, nenek terlantar saja dan benda akan bertambah baik. Tapi aku salah. Mesin jahit di bilik tidur sebelah mula berbunyi macam ada orang menjahit dengan ganas! Ibu dah mula nangis dan berhenti baca. Aku tahu ibu takut sebenarnya, jadi aku kuatkan semangat. Aku baca sekuat hati. Nenek dah menggelupur kata dia sakit. Aku tak peduli. Aku tak nak benda ni beralih dekat ibu aku. Aku pun taknak! 

Nenek tak ada anak lain selain ibu lepas semua anak-anak lain tak hiraukan dia. Awalnya aku marah dengan pakcik & makcik aku sebab tak jaga nenek. Mereka duduk lagi dekat dengan rumah nenek dari kami. Aku dan ibu yang duduk jauh yang diminta balik ke kampung. Tapi lepas apa yang jadi, aku tahu pakcik & makcik aku sebenarnya taknak benda ni beralih tuan! pakcik & makcik aku tak nak syaitan yang nenek bela!
Ibu capai telefon di tepi katil. Ibu telefon ustaz kampung ni sebab ibu tengok nenek dah terlalu nazak. Aku gagahkan diri baca yaasin sampai habis. Mulut nenek makin berdarah, ada lagi banyak jarum keluar dari mulut. Kaki nenek pun mengelupas teruk. Lama-lama aku menangis. Menangis sebab aku kesiankan nenek. Dia dah tua! Aku habiskan baca yasin dan sapu muka nenek sambil selawat. Kau nak tau muka nenek aku macam mana masa tu? Macam mayat yang dah bertahun mati! Teruk seteruknya!
Jiran aku yang dengar bunyi riuh rendah dekat umah mula datang. Makcik-makcik yang datang ni macam berbisik-bisik. Langsung tak membantu. Bacakan yaasin ke. Mengumpat je lebih! Ada yang aku dengar “pergi beralih kat sapa?” diorang tanya satu sama lain. Masa ni aku memang geram.
Ada seorang makcik ni. Dia duduk betul-betul depan pintu bilik nenek. Dia tak bagi orang lain masuk sebab die tak nak orang lain nampak aib nenek aku dalam keadaan tu. Nanti kena umpat keji orang kampung. Dia tahu nenek ada saka dan nenek bela hantu raya! Allah.. Berderai jantung aku. Masa ni aku memang marah dengan nenek sampaikan aku cakap dalam hati, “Ya Allah.. Matikanlah nenek aku sekarang!” sebab aku dapat rasakan lagi lama nenek hidup, kami yang lebih menderita.
Ustaz pun sampai. Sekali dengan imam kampung. Semua tahu nenek ada saka. Tengok pada keadaan nenek, imam suruh buka semua pintu dan tingkap. Kau bayangkan malam-malam buta kene buka semua pintu tingkap! Sejuk lagi sebab angin kuat malam tu.
Pak imam azankan bilik nenek. Makin lama makin bingit dengan bunyi mesin jahit dari bilik aku tu. Kuatnya nauzubillah. Ditambah dengan bau busuk yang teramat. Imam azankan setiap penjuru rumah. Makin imam kuat laungkan azan, makin kuat aku dengar bunyi mesin jahit. Aku nampak kaki nenek pecah teruk sebab banyak jarum keluar dari kaki. Muntah lagi. Aku rasa beratus batang jarum dalam baldi dia muntahkan.
Aku hanya mampu nangis. Ibu pun sama. Nenek pegang tangan ibu, nenek mintak ibu terima. Tapi aku tegas cakap kat ibu utk jangan terima! Sekali kalau terima, inilah akibatnya nanti!
Ibu antara dua. Nak terima atau tak. Sebab aku tahu ibu kesian tengok nenek. Ustaz kata jangan terima. Nanti akhirnya begini.
Disebabkan ibu tak nak terima, nenek nazak begitu untuk beberapa hari. Sepanjang hari-hari itulah, mesin dalam bilik tidur aku tu bising macam orang tengah menjahit. Aku tanya ibu, siapa yang bawak mesin tu turun? Ibu cakap nenek yang bawa turun dari loteng.
Maknanya apa? Maknanya mesin nilah yang aku dengar di loteng tu!!
Aku minta ibu cakap jujur, supaya cerita dekat aku. Dan ibu pun cerita. Ibu cerita aku ni anak ke empat sebenarnya. 3 lagi abang & kakak aku dah mati masa dalam janin lagi sebab jadi makanan hantu raya nenek. Dulu nenek orang susah. Ambik upah menjahit untuk sara ibu & adik beradik. Jadi nenek bela saka, ambik susuk dan bela hantu raya supaya ramai pelanggan. Atok meninggal lepas berjaya buang satu daripada susuk yang nenek pakai. Mesin jahit tu nenek dah puja supaya tak berat untuk dia menjahit. Ibu rahsiakan benda ni dari aku sejak aku kecik. Aku makin benci dekat nenek masa tu. Benci teramat!! Aku memang mintak dia mampus cepat sebab die dah menyusahkan aku dan ibu.
Dipendekkan cerita, aku telefon ustaz aku di sekolah lama. Dia antara pengamal perubatan isla, di Darul Syifa’. Aku bagi alamat rumah kampung dan minta dia datang dengan jemaah yang lain.
Esoknya petang nak dekat senja baru ustaz tu sampai dengan beberapa orang yang lain. Mereka kata, mereka bertolak awal dan sepatutnya sampai tengahari, tapi mereka seperti di “sorok” dan hanya berpusing-pusing di kawasan sama hinggalah waktu senja. Aku yang menyaksikan akibat belaan ni jadi insaf! Takut pun ada. Bukan takut dekat syaitan, tapi takut azab Allah kelak sebab menduakan Dia.


Ustaz minta izin untuk masuk bilik nenek. Ustaz buka semua pintu & tingkap bilik. Terus ustaz mula azan. Mata aku mula melilau pandang kiri kanan. Sebab ustaz nak cuba buang saka tu dari nenek. Aku risau kalau saka tu pergi ke aku!

Ustaz minta aku dan ibu keluar dari bilik nenek. Ustaz azan dan aku dengar beberapa ayat Quran yang ustaz baca kuat. Pada masa sama, aku dengar nenek muntah dan lantai bilik terderai bunyi jarum.
Seorang pembantu ustaz keluar dari bilik tu dan tanya kami, “Mana nenek simpan jarum emas?”
Aku tak tunggu lama, terus tunjukkan jarum emas yang aku nampak di mesin jahit bilik aku. Ibu termangu tak tahu kat mana nenek simpan. Pembantu ustaz bacakan ayat di jarum tu sebelum cabut dari mesin sebab dia macam payah nak cabutkan jarum pada mulanya. Lepas cabut, nenek menjerit kuat. Seram bila aku dengar suara nenek meraung!
Pembantu ustaz terus bungkus jarum emas tu dalam kain putih dan diikat sekali dengan duri landak. Aku tak tahu kenapa mesti guna duri landak.
Ustaz panggil ibu masuk, minta ibu ajarkan syahadah ditelinga nenek. Masa tu mata nenek dah tersembul macam hampir terkeluar. Mata nenek keatas. Tangan dan kaki semua kejang. Aku hanya mampu istigfar tengok keadaan nenek. Pembantu ustaz letak jarum yang diikat dalam bekas botol kaca dan di tutup kuat.
Lama keadaan nenek macam tu, hinggalah subuh esoknya. Nenek akhirnya menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan yang bagi aku cukup ngeri. Muka nenek lebam-lebam macam kena pukul dengan kuat! Badan nenek pecah-pecah bernanah.
Aku, ibu, mak sedara dan seorang makcik sama-sama mandikan jenazah. Aku belajar dari mereka. Kami semua senyap. Aku nampak ibu teramat sedih. Lebih daripada mak sedara aku yang lain.

Lepas selesai urusan dan tahlil, ustaz kata dia akan buang benda tu di sungai. Tapi dia pesan kat aku, benda ni tak bermakna akan hilang selamanya. Benda tu akan cuba untuk masuk kalau aku leka. Sebab tu sampailah sekarang, kalau aku buat sesuatu, aku rasa ada benda yang memerhati.
Cerita aku ni untuk pengajaran bukan untuk aibkan nenek aku. Nenek aku dah meninggal lebih 3 tahun.