Hospital paling berhantu

Kira-kira sepuluh tahun lalu saya berbual dengan seorang sifu qigong bernama Master Wee. Kata Master Wee, dia juga boleh melihat dan berkomunikasi dengan hantu serta roh orang mati.

Sebagai wartawan, saya bertanya kepada Master Wee, di manakah tempat paling berhantu di Lembah Klang? Lalu disebutkannya satu persatu, antaranya sebuah hospital yang besar dan terkenal.

Master Wee turutm mendakwa dirinya boleh nampak roh-roh mundarmandir di tepi jalan di hadapan hospital itu. Adakalanya roh itu mengganggu kenderaan yang lalu lalang hingga menyebabkan berlakunya kemalangan.

“Biasalah… hospitalkan tempat orang mati. Roh mereka ini ada yang tidak aman. Ia berkeliaran di situ,” begitulah cerita dan pendapat Master Wee dalam konteks kepercayaan bangsanya. Sama ada anda mahu percaya atau tidak, terpulang. Hospital mana, maaflah ya. Nanti ada yang takut pula.

Sebuah lagi hospital yang dikatakan berhantu di negara kita adalah Hospital Lady Templer yang terletak di Cheras. Hospital ini dibina pada tahun 1952 dan dirasmikan oleh Lady Templer iaitu isteri kepada bekas Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Gerald Templer. Ia dibina khusus untuk pesakit jantung, paru-paru dan batuk kering.

Pada peringkat awal kakitangan hospital ini terdiri daripada pakar perubatan, tiga orang pegawai perubatan, jururawat, juru x-ray dan pembantu jururawat. Ia mula menerima pesakit pada Ogos 1955.

Hospital Lady Templer bagaimanapun ditutup pada tahun 1985. Hanya sebahagian sahaja yang dibuka dan dijadikan poliklinik sehingga tahun 1995. Khabarnya rumah mayat hospital ini pernah menempatkan korban tragedi 13 Mei 1969.

Sejak penutupan hospital tersebut, diceritakan banyak kisah misteri berlaku di situ, sampailah sekarang. Antaranya jelmaan lelaki berpakaian serba putih seperti doktor berdiri di tepi tingkap, perempuan yang mendukung anaknya, perempuan berambut panjang, suara orang menangis dan mayat tanpa kepala.

Kumpulan-kumpulan paranormal sering menjalankan aktiviti memburu hantu di bangunan terbengkalai ni dan seringkali tidak menghampakan. Pasti ada entiti-entiti aneh berjaya mereka kesan.


TANGISAN MISTERI

Sebenarnya, bukan saja di negara kita, kisah hospital berhantu juga dikatakan berlaku di seluruh dunia. Salah satunya adalah Hospital Jiwa Sai Ying Pun, di Hong Kong. Dibina pada 1892, hospital ini pernah digunakan sebagai kuarters jururawat. Ia kemudian ditawan oleh tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua dan menggunakannya sebagai tempat seksaan para tawanan perang. Banyak nyawa terkorban di sini.

Hospital Sai Ying Pun dijadikan hospital mental pada 1947 hingga 1961 dan seterusnya menjadi pusat rawatan psikiatri sehingga 1971. Selepas ditutup, masyarakat setempat sering terdengar suara wanita menangis serta bunyi dentuman yang menakutkan dari dalam bangunan tersebut.

Mereka juga sering terdengar bunyi tapak kaki orang berjalan, jelmaan seorang lelaki di tingkat dua yang kemudiannya tiba-tiba terbakar serta kelibat-kelibat aneh berkeliaran pada waktu malam.

Hospital Nocton Hall di Engand pula asalnya merupakan kediaman mewah pembesar negeri. Ia kemudian digunakan oleh kerajaan Amerika Syarikat sebagai hospital tenteranya semasa Perang Dunia Kedua. Bagaimanapun, hospital lama itu dibiarkan terbengkalai mulai 1995 ekoran berlaku kebakaran yang menyebabkan banyak kerosakan pada bangunan tersebut.

Pelbagai kejadian misteri berlaku di sini. Antara yang paling kerap dilihat adalah kelibat seorang gadis berkeliaran di dalam bangunan itu sambil menangis teresak-esak dengan suara yang amat sayu. Ramai yang mengadu mereka akan terjaga pada pukul 4.30 pagi dan melihat si gadis menangis di hujung katil.

Dikatakan gadis itu adalah bekas seorang pekerja di hospital berkenaan yang telah dirogol dan kemudian dibunuh oleh anak lelaki pemilik Nocton Hall sebelum ia dijadikan hospital tentera.

Hospital Royal Hope di Florida, Amerika Syarikat (AS) dibina pada 1784. Ia dijadikan hospital tentera Sepanyol sehingga 1821, sebelum diruntuhkan atas sebab-sebab tertentu. Sebuah bangunan baru kemudiannya dibina menjadi rumah kediaman mangsa-mangsa Perang Seminole, tetapi ketika kerja-kerja pemasangan paip dilakukan, para pekerja mendapati bangunan tersebut rupa-rupanya dibina di atas tanah perkuburan masyarakat asli Amerika.

Dikatakan ramai yang terdengar suara rintihan dan jeritan dari bilik-bilik kosong di situ. Pada waktu yang lain, katil tiba-tiba bergerak sendiri, teko air menggelongsor di atas lantai dan meja, serta kedengaran bunyi tapak kaki orang berjalan di dalam bilik kosong.


KEJADIAN ANEH

Satu lagi hospital yang disenaraikan sebagai antara paling berhantu di dunia adalah Hospital Whittingham, di Preston, Lancashire, England. Dibuka pada 1873, ia merupakan hospital mental terbesar di England pada ketika itu.

Banyak kejadian aneh berlaku di sini. Dikatakan banyak kali berlaku pesakit tiba-tiba terkunci di dalam sebuah bilik kecil di bawah tangga dan di dalam bilik air.

Paling menakutkan adalah rambut pesakit ditarik “sesuatu” dan leher mereka dijerut dengan tuala basah hingga tidak sedarkan diri.

Ada pihak mengaitkan kejadiankejadian misteri ini dengan peristiwa seorang pesakit tua yang mati disembelih oleh seorang jururawat.

Namun begitu, barangkali daripada sekian banyak hospital berhantu di dunia ini, yang paling misteri adalah Waverly Hills Sanatorium, di Louiseville, Kentucky, AS. Hospital yang dibina pada 1908 ini asalnya digunakan sebagai pusat rawatan pesakit batuk kering yang merebak ketika itu.

Ramai yang meninggal dunia ketika dirawat di situ. Antara kisah misteri paling terkenal berlaku di pintu masuknya.

Dikatakan ramai pengunjung mendakwa terserempak dengan jelmaan seorang wanita tua berlari di situ dalam keadaan badannya diikat rantai dan dipenuhi luka serta darah.

Sambil berlari wanita tua itu meraung meminta tolong sebelum hilang begitu saja bagaikan kabus.

Di tingkat tiga bangunan tersebut pula kelihatan kelibat seorang gadis.Diceritakan ada kalanya gadis ini muncul seperti manusia biasa dan berbual dengan pengunjung yang hadir di hospital.

Pada waktu yang lain dia dilihat berdiri di tepi tingkap dan memandang ke luar dengan wajah yang sayu. Mereka menamakannya sebagai Mary.

Diceritakan bahawa kejadiankejadian misteri yang berlaku di sini ada kaitan dengan peristiwa seorang ketua jururawat membunuh diri pada 1928 kerana ditinggalkan kekasih dalam keadaan hamil.

Ia berlaku di Bilik 502. Kononnya juga berlaku kejadian seorang jururawat membunuh diri denganterjun dari tingkap bangunan itu pada 1932. Sejak itu kelibat seorang jururawat muda sering dilihat berlegar-legar di hospital berkenaan.

Ada juga yang mendakwa ternampak jelmaan seorang kanak-kanak di bumbung hospital. Kononnya suatu ketika dahulu budak itu ditempatkan di atas bumbung sebagai satu proses terapi bagi mendapatkan pancaran cahaya matahari secara optimum.

Tempat paling berhantu adalah di tingkat empat. Bayangan-bayangan aneh dilihat mundar-mandir, daun pintu terbuka dan tertutup sendiri dengan kuat serta suara jeritan dan bunyi bising kedengaran pada waktu-waktu tertentu.

Ada juga yang mendakwa terhidu bau masakan dari bahagian dapur yang telah lama terbiar. Malah ada yang mendakwa melihat jelmaan tukang masak bekerja di situ.

Di kaki lima hospital pula terdengar suara bisikan, tangisan dan jeritan misteri.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/pendidikan/sastera/hospital-paling-berhantu-1.232836#ixzz4kj6AK2lS
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kebun Pak Mat

Assalamualaikum semua, nama aku Suraya. Sekarang aku pelajar universiti. Aku nak cerita pengalaman kakak aku yang ternampak hantu sewaktu kami cuti sekolah di kampung. 

Okay ini cerita dari kakak.
Haritu kakak saja pergi belakang rumah nenek naik basikal. Agak jauh kakak aku pergi untuk ambil angin. Umur kakak aku waktu tu 17 tahun dan aku 12 tahun, jadi dia agak bebas. Waktu tu dalam pukul 6pm, jadi dia tak risau sebab masih terang. 
Sampai ke kebun pakmat kakak aku menjelajah. Kebun pakmat memang tak terjaga. Tak berapa jauh dari rumah nenek aku tapi agak terlindung sebab sekitarnya hutan. Kebun tu agak luas dan ada banyak buah-buahan walaupun terbiar. Pokok pisang, rambutan, durian dan banyak lagi. Tambah lagi waktu tu musim rambutan. Banyak rambutan bersepah di tanah dan tergantung di pokok. Walaupun kakak aku geram nak petik, tapi dia tak petik. Sebab depan rumah nenek pun ada banyak buah rambutan. 
Tengah asyik kakak aku mengayuh, tiba-tiba kakak aku dengar suara macam berborak tapi dalam keadaan berbisik. Tambah pelik lagi, suara tu bukan dengar macam dari bawah, tapi atas pokok.
Kakak aku kata dia buat muka selamba tapi dalam hati hanya Allah je yang tahu. Perlahan-lahan dia kayuh lagi laju untuk patah balik ke rumah nenek. Kayuh punya kayuh, besi roda tayar basikal pulak tercabut. Memang tak ada masa untuk dia betulkan, dia jalan dengan laju sambil bawak basikal.
Masa tengah berjalan, dia masih dengar suara tu. Bahasanya tak difahami, tapi makin kuat. Perasaan ingin tahu kakak aku meluap jadi dia pun mendongak keatas untuk tengok siapa atau apa yang bercakap. Tak tahu dari mana kekuatan dia untuk tengok, tapi memang dia betul-betul terkejut bila nampak ada satu pontianak terbang atas pokok. Pontianak tu terbang kehulu hilir sekitar pokok pisang. Bajunya warna merah darah dengan rambut yang sangat panjang tapi kusut. Kakak aku kaku, memang betul-betul kelu lidah waktu tu.
Yang paling menakutkan, pontianak tu pandang kearah kakak aku macam marah sebelum makhluk tu mengilai. Kakak aku apa lagi, terus lari tinggalkan basikal. Sempat kakak aku toleh belakang dan benda tu ikut kakak aku macam kejar sambil mengilai. Kakak aku lari sampai kawasan yang terbuka. Dia toleh pontianak tu dah tak ada. Itulah kali pertama kakak aku nampak hantu, jadi esoknya dia demam.
Esoknya aku cerita dengan kawan-kawan sekampung. Sebenarnya mereka semua dah tau yang kebun pakmat memang macam ada "penjaga". Ramai yang dah nampak benda menakutkan waktu lalu tepi kebun pakmat. Ada yang kata pakmat sibuk uruskan kerja dia bandar sebab tu dia "upah" penjaga untuk jaga kebun dia. Sama ada cerita itu betul aku pun tak tahu. 
Tapi bagi aku, orang yang bela "penjaga" ni agak selfish. Iyelah, kampung ni bukan kampung dia sorang je. Walaupun itu tanah dia, tapi fikirlah orang yang lalu tepi jalan untuk melintas. Bila jadi benda-benda macam ni, orang trauma sebab nampak benda yang tak sepatutnya kita nampak. Contohnya kakak aku. Kakak aku pun satu, berani betul pergi hutan sendiri. Apa-apa pun, aku harap cerita aku ni dapat bagi pengajaran.