Mesin Jahit Berhantu I

Assalamualaikum semua. Aku nak kongsi dengan semua pembaca tentang satu cerita seram yang aku lalui ketika aku dibangku sekolah. 
Ceritanya bermula bila aku sekeluarga berpindah ke kampung selepas ayah pencen dari kerja kerajaan. Masa tu aku di tingkatan 4. Jenuh nak uruskan pertukaran sekolah sebab tahun depannya SPM. Tapi alhamdulillah, urusan pertukaran sekolah dipermudahkan dan aku dapat sambung sekolah dikampung.  

Ibu aku seorang tukang jahit dan mempunyai kedai. Jadi, selepas berpindah semua kelengkapan menjahit ibu terpaksa diangkut pulang ke kampung. Sementara mencari kedai yang murah untuk disewa, semua barang-barang ibu ada di rumah nenek. 
Rumah ni sangat besar. Nenek cakap ini rumah moyang aku dulu. Ada 2 tingkat dan 8 bilik. Boleh pilih nak tidur mana-mana bilik. Aku pilih bilik sebelah bilik nenek. Bagi aku, lagi besar rumah tu, lagi seram. Lagilah kalau rumah kampung. Tambah lagi, hutan belakang rumah. Rumah nenek rasa seram lain macam sampai aku pun tak senang.

Pada waktu itu, nenek aku sakit teruk tanpa dapat diketahui sakitnya oleh doktor. Sepanjang nenek sakit, ibu tak menjahit kerana menjaga nenek. Sampailah satu hari lepas aku bangun dari tidur. Aku terperanjat nampak nenek duduk di bangku dan menjahit. Padahal semalamnya aku tengok nenek sakit. Aku cerita kepada ibu, dia cakap nenek sakit sebab rindu nak menjahit macam zaman muda-muda dulu. Aku diamkan aje.
Hari berikutnya, waktu aku tengah study dalam bilik bawah, aku mula dengar orang sayup-sayup panggil nama ibu. Aku tgok jam, pukul 11 malam. Bagi aku masih awal lagi jadi aku pun keluar dari bilik dan intai tepi tingkap. Manalah tahu ada orang dekat luar, tapi takda. Elok aku nak masuk balik ke bilik, aku dengar bunyi mesin jahit dekat bilik loteng. Aku mula pelik, sebab tak ada siapa naik ke loteng lepas atok meninggal. Siapa yang naik atas tu menjahit?
Hati aku membuak-buak nak tahu, jadi aku naik tingkat atas. Untuk ke loteng aku kena lalu bilik stor dulu. Elok aku nak masuk bilik stor, nenek panggil aku. Tapi suara dia seram! Sebab suara dia memang garau dengan suara tua dia lagi. Meremang bulu roma aku. Aku turun bawah semula. 
Aku masuk bilik nenek, aku nampak nenek terlantar sakit. Makan pun ibu aku yang suapkan. Aku jadi tambah pelik. kalau macam ni keadaan nenek, siapa yang panggil aku tadi? 
Esoknya, aku bangun tidur dan aku nampak ada mesin jahit lama kepala warna hitam dalam bilik aku. Ukiran dimesin ni cantik sangat. Tapi aku pelik, ni mesin siapa? Mana datang mesin goyang pakai kaki ni? Setahu aku ibu pakai mesin eletrik. Elok aku nak dekat dengan mesin tu, tiba-tiba nenek muncul dekat sebelah. Aku punyalah terkejut masa tu. Aku tanya nenek, bila nenek sampai? Dia diam dan hulur aku kain putih. Dia cakap tolong jahitkan tepi.
Aku dengan muka tak mandi pun duduk dekat bangku mesin tu. Kau tahu ape jadi lepas aku duduk? Aku rasa mata aku gelap! Gelap tak nampak apa-apa! Terus aku bangun. Aku mengucap dan istigfar banyak-banyak. Terus aku keluar dari bilik tu.
Aku cakap dengan ibu apa yang jadi tadi. Ibu cakap jangan layan perasaan. Masalahnya tu bukan perasaan! Tu kenyataan! Aku bengang bila ibu tak percaya cakap aku. Aku tekad nak ibu rasa apa yg aku rasa. Jadi aku ajak ibu tidur dengan aku dibilik bawah. Disebabkan aku anak perempuan tunggal, ibu layankan.
Malam tu aku tidur dengan ibu. Aku terlelap awal sebab aku agak penat haritu. Dan tak semena, aku terjaga pada tengah malam sebab terdengar bunyi mesin jahit kaki yang agak bingit disebabkan karat.
Aku buka mata tapi alangkah terkejutnya aku bila nampak seorang perempuan tua berambut panjang. Dia duduk di bangku mesin jahit membelakangkan aku dan sedang asyik menjahit. Aku toleh sebelah katil, ibu sedang tidur. Siapa yang sedang menjahit tu? 

Reaksi aku terus ingin menjerit, tapi suara aku tak ada!  Aku tak tahu mana hilang suara aku. Jadi aku diamkan diri, pejamkan mata dan baca ayat Qursi dalam hati sebanyak yang mampu. Tangan aku cuba kejutkan ibu disebelah tapi hampa. Ibu lena tidur tak sedar apa. Masa tu, Allah saja tahu apa aku rasa. Aku tak sabar nak tunggu siang sebab aku nak kepastian dari nenek. 
Esoknya aku cerita dekat ibu apa yang aku nampak. Ibu terdiam. Muka ibu pucat. Aku dapat rasa ibu simpan rahsia. Aku paksa ibu cakap tapi masa tu tiba-tiba nenek datang kata lapar dan nak makan. Nenek pandang aku, tapi tak pandang mata aku. Die lebih banyak mengelak. Masa nenek tengah makan, aku baca ayat Qursi dalam hati. Lepas aku habis baca, terus dia campakkan nasi dalam pinggan ke lantai. Kau boleh bayangkan apa aku rasa?
Sejak kami berpindah ke kampung, banyak benda yang aneh lain yang aku alami. Pernah aku nampak kelibat atok dalam rumah. Setiap masa aku rasa macam ada orang tengah perhatikan aku. Rumah ni pula rumah kayu, jadi kalau berjalan memang akan dengar bunyi-bunyi kayu rumah. Jadi bila malam aku mesti akan dengar bunyi kayu macam orang berjalan. Aku pelik, siapa yang selalu berjalan waktu malam?