Terbuka hijab selepas diserang histeria

Assalammualaikum semua. Aku peminat tegar cerita hantu dan aku suka tengok cerita hantu. Aku tak pernah tengok hantu depan mata sampailah satu masa. Aku terkena histeria di sekolah bila ada bangunan baru nak dibuat. Ustaz kata, kawasan “dia” dah diganggu, jadi dia ganggu budak-budak sekolah termasuk aku.
Sejak dari kena histeria, aku boleh nampak dan rasa kalau “benda” tu ada di sekeliling aku. Mula dari situ, aku pernah nampak hantu pocong, puntianak, lembaga hitam (selalu), orang tua bongkok & etc. Aku bukan nak bangga tapi sebenarnya aku rasa tak tenteram sebab benda tu mula menggangu aku. 
Rumah aku 2 tingkat & ibu aku selalu jatuh tangga. Padahal terang benderang kawasan tangga tu. Selalu pagi-pagi kalau ibu aku nak turun bawah buat breakfast mesti kaki dia macam terlanggar sesuatu dan jatuh. Aku pelik, nak kata ibu aku rabun sakit, mmg tak. Sihat walafiat, mata pon cun lagi. 

Pernah aku tertidur di sofa ruang tamu bawah. Masa tu semua keluarga aku dalam bilik. Dlm pukul 3 pagi aku tersedar sebab terdengar ada suara bercakap-cakap sebelah aku. Bila aku bangun, masyaAllah! Ada nenek tua pegang tongkat duduk di tangga. Masa tu hanya Allah je tahu perasaan aku. Lepas aku baca ayat kursi terus benda tu hilang. Esok aku terus bagitahu ibu, ibu kata sebenarnya ada benda menumpang kat rumah kita. Pernah aku nampak lembaga hitam duduk depan rumah aku. Macam menjaga rumah aku. Patutlah bila malam, orang tak jumpa rumah aku.
Bila macam-macam jadi, keluarga aku terus jumpa ustaz yang biasa rawat kami. Ustaz kata memang ada yang menumpang di rumah tu. Lepas semua, alhamdulillah dah okey. Ibu dah tak jatuh lagi dan orang dah boleh nampak rumah aku.
Sejak dari histeria dulu, aku dah boleh rasa kalau benda tu ada.
Paling banyak kali aku jumpa hantu masa aku belajar matrik. Selama setahun aku duduk situ, setahun jugak hantu kenal aku. Aku pernah kena tarik katil masa tengah tidur. Masa mula-mula masuk, felo ada cakap, jangan belajar sampai lewat malam. Lepas pukul 12am, kena tidur dan jangan belajar. Aku peliklah sebab aku jenis belajar pukul 2-3 pagi ke atas. Pernah, masa tengah tengok cerita conjuring, tiba-tiba almari aku terbuka dan dengar bunyi tepuk tangan. 
Tips: cakap kuat-kuat bila kene kacau 'Aku tak kacau kau, kau jangan kacau aku!'

Misteri Rumah Lama

Assalamualaikum semua. Aku Arkitek. Kerja aku banyak melibatkan buildings and drawings. Aku penakut. Tengok cerita Zombi Kampung Pisang pun aku jerit separuh nyawa.
Tahun 2008/2009, client boss aku nak buat resort guna rumah-rumah Melayu lama dari Kedah, Melaka, Johor etc. Dia dah beli 12 biji rumah Melayu lama untuk di’renovate’kan jadi resort. Untuk projek ni, boss tugaskan aku untuk buat reinforcement detail drawings untuk rumah-rumah ni. Aku perlu pergi sana, ambil gambar dan fahami bentuk rumah-rumah ni. Kami mula dengan rumah Ipoh dulu.
Rumah Ipoh ni tersangatlah besar. Macam rumah-rumah orang kenamaan dulu kala. Oleh kerana aku terlalu penakut, aku harapkan kawan aku, lelaki ni akan jadi ketua. Tapi sebenarnya dia pun takut. Maka terkepit-kepitlah kami masuk rumah tu. Kawan aku bukan saja penakut, malah mempunyai mulut yang celupar. Bila masuk dalam rumah tu, dia cakap rumah tu macam penah terbakar. Perasan dia terlepas cakap, kami cepat-cepat keluar dari rumah tu. Kami cuma tangkap gambar dari luar.
Seminggu kemudian, boss minta aku lukis rumah Ipoh tu. Untuk pastikan lakaran aku, aku rujuk gambar-gambar yang kami dah ambil. Dalam banyak-banyak gambar, ada 1 gambar paling jelas. Jadi aku guna gambar tu untuk pastikan lakaran aku. 

Masa aku teliti bahagian tingkap, aku nampak sesuatu. Setahu aku tak ada pun tingkap berkaca, tapi tengok gambar macam tingkap tu berkaca. Aku edit bagi jelas guna Adobe Photoshop untuk kepastian. Alangkah terkejutnya lepas aku nampak satu makhluk yang terbakar, dengan kepala terlentok sebelah kiri, lekatkan dua-dua tapak tangan dia kat tingkap tu dan menyeringai. Apa lagi, aku menjerit sekuat hati. Mouse & keyboard pun tercampak sampai jatuh berderai.
Inilah cabaran aku sebagai arkitek dan aku masih simpan lagi gambar tu. Walaupun aku Arkitek, aku sendiri tak faham kenapa orang sanggup bayar mahal-mahal untuk duduk rumah-rumah lama.

Rumah Sewa keras

Assalamu’alaikum. Aku seorang pelajar disebuah kolej yang baru dinaik taraf jadi universiti. Aku nak cerita pasal benda yang jadi masa kali pertama aku masuk rumah sewa ni sampailah sekarang.
Dari semester 1 lagi aku dah duduk rumah sewa sebab aku malas nak duduk asrama.
Rumah sewa aku atas bukit, kawasan perumahan baru dan 2 tingkat. Bagi aku selesa sebab besar dan ada tandas disemua bilik. Tapi sewa bulanan memang mahal.
Rumah ni memang kosong. Tak ada apa² perabut langsung termasuk katil. Tidur kami hanya beralaskan toto. Aku dapat bilik utama.
Masa mula-mula masuk rumah ni memang aku dah rasa seram sejuk sebab aku boleh nampak dan rasa kalau ada benda macam makhluk halus. Lagipun sini kawasan perumahan baru, tak banyak orang lagi waktu tu. Boleh kata setiap malam anjing akan menyalak depan rumah kami. Bukan setakat depan rumah, tapi dekat belakang rumah pun ada. Bukan seekor, tapi banyak. Tambah pelik lagi, anjing selalu menyalak dekat rumah ni ja..
Nak dijadikan cerita, hari pertama masuk aku tidur macam biasa. Takda apa² gangguan lagi. Tapi lepas selang 2-3 hari aku dah mula rasa, dah mula nampak macam-macam.
Benda pertama aku nampak dalam rumah ni waktu aku nak tidur. Mungkin dalam pukul 12 am. Aku nampak ada benda terapung atas badan salah seorang kawan sebilik aku. Nampak macam lembaga besar terapung betul-betul atas kawan aku ni. Waktu tu aku dengan dia tidur berjarak satu tilam. Kiranya tilam tengah-tengah kami kosong sebab kawan sebilik aku yang lain balik kampung.
Bila nampak lembaga tu aku jadi seram. Jantung aku berdegup kencang bagai nak pecah. Tapi aku tak cerita dekat sesiapa sebab aku taknak takutkan orang lain. Aku tahu mesti ada yang jenis penakut. Jadi aku diam² dulu.

Pernah jugak aku nampak ada benda bertenggek dekat atas almari kawan aku.
Aku terdiam tak mampu nak kata apa.
Bila semester baru, aku tukar bilik. Aku pindah bilik hujung sekali. Tempat aku dekat dengan tandas. Jadi biasalah aku akan dengar orang keluar masuk bilik air.
Pukul 3 pagi aku dengar bunyi orang bukak shower mandi dalam bilik air siap nyanyi mendayu-dayu. Bila aku tengok, semua kawan aku tengah nyenyak tidur tempat masing-masing.
Ada satu hari, waktu cuti semester, rancangan aku nak balik rumah sekejap sebab nak ambik beg baju untuk bawak balik kampng. Aku balik dengan sorang kawan aku. Agak-agak hampir sampai rumah tu, kami dah rasa tak sedap hati. Tapi masing-masing diamkan diri. Malam tu kami duduk di ruang tamu sebab rumah kosong orang tak ada. Sambil makan kami sembang. Tiba-tiba dengar bunyi macam ada orang bukak pintu pagar. Bunyi memang kuat padahal kami dah kunci pagar semua. 

Sebab keadaan macam tu, kami tidur atas. Kawan aku tidur awal, aku belum tidur lagi sebab nak kemas beg. Tiba-tiba aku dengar bunyi orang berlari dekat balkoni. Lepas tu dengar bunyi tapak kaki orang naik tangga ke bilik yang kami tidur. Bunyinya macam hentak kaki dengan kuat dekat tangga. Lama bunyi tu. Aku risau sebab hanya kami berdua dalam rumah tu. Aku fikir bukan-bukan, tapi nak buat macam mana. Aku buat macam tak ada apa-apa dan terus cuba tidur.
Esok pagi aku kemas baju, dah siap kami terus keluar dari rumah walaupun tiket tren lagi 2 jam.
Lama-lama aku tak tahan duduk bilik tu aku tidur dekat ruang tamu bawah sampai sekarang. Aku ingatkan akan kurang sikit jelmaan makhluk tu, tapi lagi teruk adalah. Sebab perabut dalam rumah ni tak lengkap, jadi aku boleh nampak ruang sampai ke dapur. Paling seram sekali bila aku nampak benda tu dekat meja makan. Waktu tu aku tidur atas sofa, sofa ni memandang ke meja makan. Memang terkejut sebab aku nampak makhluk baju putih rambut panjang tengah duduk situ. Nasib baik dia pandang belah sana bukan belah aku. Kalau tak, aku taktau apa akan jadi dekat aku.
Ada jugak satu hari aku nampak lembaga tinggi dan besar. Bentuknya macam orang tengah perhati dekat tingkap dapur. Lama dia duduk situ. Dia macam tenung dekat ruang tamu, tempat aku tidur. Aku rasa tak mungkin orang sebab memang besar lagipun belakang rumah tu gelap dan sunyi. Mana ada orang lalu lorong belakang rumah tu. Hantu raya ke?
Pernah aku nampak kepala terbang. Apa orang panggil, penanggal? Malam tu dalam pukul 8pm, aku baru balik dari kedai runcit. Bukan malam sangat, aku nampak benda tu depan rumah jiran aku. Sekali pandang ingat orang, jadi aku tak kisah la. Kali kedua pandang dia terbang. Terus aku lari masuk rumah.
Satu lagi, aku baru balik dari kedai makan dalam pukul 9pm lebih macam tu, tiba-tiba aku nampak makhluk baju putih rambut panjang tunggu depan pintu rumah. Aku terpaksa buat-buat tak nampak. Untuk buktikan aku konon tak nampak dia, aku pusing keliling taman perumahan. Aku sanggup tak masuk rumah sebab aku tak nak lalu sebelah dia. Lama-lama aku dah tak larat nak pusing, rasa nak balik rumah, tapi dia masih ada lagi. Aku terpaksa tabahkan hati buat macam tak ada apa². Aku letak motor betul² sebelah dia. Aku turun, lalu buat macam tak nampak & tak perasan dia. Lepas tu terus kunci pintu rumah. Muka macam tak ada apa, tapi jantung dah berdegup kencang macam baru lepas marathon dengan usain bolt!
Kami dapat cuti 2 minggu lepas habis semester pendek. Aku & kawan aku, kami orang yang terakhir balik. Kami kemas rumah bagi bersih & cantik. Tapi bila aku balik sini minggu lepas, sebab aku orang pertama balik sini, aku tengok keadaan rumah bersepah. Bersepah tak macam yang kami tinggalkan sebelum balik. Rumah bau busuk sangat macam bau bangkai yang berulat, macam sampah yang dah berminggu² tak buang.
Kawan aku simpan motor dia dalam rumah sebab dia tak bawak balik motor. Aku tak tau macam mana boleh ada pisau dalam raga moto dia. Lepas tu, paip air tandas bilik bawah terbuka. Air melimpah dalam tandas tu. Padahal aku orang terakhir guna tandas tu, itupun aku cuma salin baju sebelum balik rumah keluarga dan lantai pun dah kering. Siapa yang buka paip air tu, sedangkan aku orang yang terakhir?
Aku pernah nampak ada benda tengah selongkar tong sampah sambil berkeliaran dekat dapur. Bila aku nak pergi tengok, benda tu macam perasan aku. Dia lari duduk atas rak pinggan mangkuk. Jatuh satu cawan plastik. Aku dah rasa tak sedap hati, tak jadi pergi dapur. Aku buka lampu ruang tamu & tidur dalam cahaya.
Aku ada cerita dekat kawan-kawan aku, tapi ada yang aku simpan sendiri sebab ada kisah yang seram sangat. Lepas aku cerita, mulalah seorang demi seorang buka cerita. Jadi setiap kali mereka nampak atau rasa tak sedap hati, mereka cerita dekat aku.
Banyak lagi benda pelik yang jadi. Dengar bunyi guli, rasa macam orang lalu belakang kita, cawan tiba² jatuh, suis lampu/kipas tiba² tertutup dan tudung saji yang kukuh atas meja tiba² jatuh. Banyak sangat tiba².
Info yang aku dapat daripada orang sini, dulu kawasan perumahan kami ni hutan belantara. Mereka kata dulu orang banyak buang benda dekat sini. Ada yang kata selalu ada bungkuih(pocong) kawasan sini. Mereka sendiri takut nak datang kawasan ni sebab seramnya lain macam, tapi kami berani sangat sewa kawasan ni.

sekian.

Hospital paling berhantu

Kira-kira sepuluh tahun lalu saya berbual dengan seorang sifu qigong bernama Master Wee. Kata Master Wee, dia juga boleh melihat dan berkomunikasi dengan hantu serta roh orang mati.

Sebagai wartawan, saya bertanya kepada Master Wee, di manakah tempat paling berhantu di Lembah Klang? Lalu disebutkannya satu persatu, antaranya sebuah hospital yang besar dan terkenal.

Master Wee turutm mendakwa dirinya boleh nampak roh-roh mundarmandir di tepi jalan di hadapan hospital itu. Adakalanya roh itu mengganggu kenderaan yang lalu lalang hingga menyebabkan berlakunya kemalangan.

“Biasalah… hospitalkan tempat orang mati. Roh mereka ini ada yang tidak aman. Ia berkeliaran di situ,” begitulah cerita dan pendapat Master Wee dalam konteks kepercayaan bangsanya. Sama ada anda mahu percaya atau tidak, terpulang. Hospital mana, maaflah ya. Nanti ada yang takut pula.

Sebuah lagi hospital yang dikatakan berhantu di negara kita adalah Hospital Lady Templer yang terletak di Cheras. Hospital ini dibina pada tahun 1952 dan dirasmikan oleh Lady Templer iaitu isteri kepada bekas Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Gerald Templer. Ia dibina khusus untuk pesakit jantung, paru-paru dan batuk kering.

Pada peringkat awal kakitangan hospital ini terdiri daripada pakar perubatan, tiga orang pegawai perubatan, jururawat, juru x-ray dan pembantu jururawat. Ia mula menerima pesakit pada Ogos 1955.

Hospital Lady Templer bagaimanapun ditutup pada tahun 1985. Hanya sebahagian sahaja yang dibuka dan dijadikan poliklinik sehingga tahun 1995. Khabarnya rumah mayat hospital ini pernah menempatkan korban tragedi 13 Mei 1969.

Sejak penutupan hospital tersebut, diceritakan banyak kisah misteri berlaku di situ, sampailah sekarang. Antaranya jelmaan lelaki berpakaian serba putih seperti doktor berdiri di tepi tingkap, perempuan yang mendukung anaknya, perempuan berambut panjang, suara orang menangis dan mayat tanpa kepala.

Kumpulan-kumpulan paranormal sering menjalankan aktiviti memburu hantu di bangunan terbengkalai ni dan seringkali tidak menghampakan. Pasti ada entiti-entiti aneh berjaya mereka kesan.


TANGISAN MISTERI

Sebenarnya, bukan saja di negara kita, kisah hospital berhantu juga dikatakan berlaku di seluruh dunia. Salah satunya adalah Hospital Jiwa Sai Ying Pun, di Hong Kong. Dibina pada 1892, hospital ini pernah digunakan sebagai kuarters jururawat. Ia kemudian ditawan oleh tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua dan menggunakannya sebagai tempat seksaan para tawanan perang. Banyak nyawa terkorban di sini.

Hospital Sai Ying Pun dijadikan hospital mental pada 1947 hingga 1961 dan seterusnya menjadi pusat rawatan psikiatri sehingga 1971. Selepas ditutup, masyarakat setempat sering terdengar suara wanita menangis serta bunyi dentuman yang menakutkan dari dalam bangunan tersebut.

Mereka juga sering terdengar bunyi tapak kaki orang berjalan, jelmaan seorang lelaki di tingkat dua yang kemudiannya tiba-tiba terbakar serta kelibat-kelibat aneh berkeliaran pada waktu malam.

Hospital Nocton Hall di Engand pula asalnya merupakan kediaman mewah pembesar negeri. Ia kemudian digunakan oleh kerajaan Amerika Syarikat sebagai hospital tenteranya semasa Perang Dunia Kedua. Bagaimanapun, hospital lama itu dibiarkan terbengkalai mulai 1995 ekoran berlaku kebakaran yang menyebabkan banyak kerosakan pada bangunan tersebut.

Pelbagai kejadian misteri berlaku di sini. Antara yang paling kerap dilihat adalah kelibat seorang gadis berkeliaran di dalam bangunan itu sambil menangis teresak-esak dengan suara yang amat sayu. Ramai yang mengadu mereka akan terjaga pada pukul 4.30 pagi dan melihat si gadis menangis di hujung katil.

Dikatakan gadis itu adalah bekas seorang pekerja di hospital berkenaan yang telah dirogol dan kemudian dibunuh oleh anak lelaki pemilik Nocton Hall sebelum ia dijadikan hospital tentera.

Hospital Royal Hope di Florida, Amerika Syarikat (AS) dibina pada 1784. Ia dijadikan hospital tentera Sepanyol sehingga 1821, sebelum diruntuhkan atas sebab-sebab tertentu. Sebuah bangunan baru kemudiannya dibina menjadi rumah kediaman mangsa-mangsa Perang Seminole, tetapi ketika kerja-kerja pemasangan paip dilakukan, para pekerja mendapati bangunan tersebut rupa-rupanya dibina di atas tanah perkuburan masyarakat asli Amerika.

Dikatakan ramai yang terdengar suara rintihan dan jeritan dari bilik-bilik kosong di situ. Pada waktu yang lain, katil tiba-tiba bergerak sendiri, teko air menggelongsor di atas lantai dan meja, serta kedengaran bunyi tapak kaki orang berjalan di dalam bilik kosong.


KEJADIAN ANEH

Satu lagi hospital yang disenaraikan sebagai antara paling berhantu di dunia adalah Hospital Whittingham, di Preston, Lancashire, England. Dibuka pada 1873, ia merupakan hospital mental terbesar di England pada ketika itu.

Banyak kejadian aneh berlaku di sini. Dikatakan banyak kali berlaku pesakit tiba-tiba terkunci di dalam sebuah bilik kecil di bawah tangga dan di dalam bilik air.

Paling menakutkan adalah rambut pesakit ditarik “sesuatu” dan leher mereka dijerut dengan tuala basah hingga tidak sedarkan diri.

Ada pihak mengaitkan kejadiankejadian misteri ini dengan peristiwa seorang pesakit tua yang mati disembelih oleh seorang jururawat.

Namun begitu, barangkali daripada sekian banyak hospital berhantu di dunia ini, yang paling misteri adalah Waverly Hills Sanatorium, di Louiseville, Kentucky, AS. Hospital yang dibina pada 1908 ini asalnya digunakan sebagai pusat rawatan pesakit batuk kering yang merebak ketika itu.

Ramai yang meninggal dunia ketika dirawat di situ. Antara kisah misteri paling terkenal berlaku di pintu masuknya.

Dikatakan ramai pengunjung mendakwa terserempak dengan jelmaan seorang wanita tua berlari di situ dalam keadaan badannya diikat rantai dan dipenuhi luka serta darah.

Sambil berlari wanita tua itu meraung meminta tolong sebelum hilang begitu saja bagaikan kabus.

Di tingkat tiga bangunan tersebut pula kelihatan kelibat seorang gadis.Diceritakan ada kalanya gadis ini muncul seperti manusia biasa dan berbual dengan pengunjung yang hadir di hospital.

Pada waktu yang lain dia dilihat berdiri di tepi tingkap dan memandang ke luar dengan wajah yang sayu. Mereka menamakannya sebagai Mary.

Diceritakan bahawa kejadiankejadian misteri yang berlaku di sini ada kaitan dengan peristiwa seorang ketua jururawat membunuh diri pada 1928 kerana ditinggalkan kekasih dalam keadaan hamil.

Ia berlaku di Bilik 502. Kononnya juga berlaku kejadian seorang jururawat membunuh diri denganterjun dari tingkap bangunan itu pada 1932. Sejak itu kelibat seorang jururawat muda sering dilihat berlegar-legar di hospital berkenaan.

Ada juga yang mendakwa ternampak jelmaan seorang kanak-kanak di bumbung hospital. Kononnya suatu ketika dahulu budak itu ditempatkan di atas bumbung sebagai satu proses terapi bagi mendapatkan pancaran cahaya matahari secara optimum.

Tempat paling berhantu adalah di tingkat empat. Bayangan-bayangan aneh dilihat mundar-mandir, daun pintu terbuka dan tertutup sendiri dengan kuat serta suara jeritan dan bunyi bising kedengaran pada waktu-waktu tertentu.

Ada juga yang mendakwa terhidu bau masakan dari bahagian dapur yang telah lama terbiar. Malah ada yang mendakwa melihat jelmaan tukang masak bekerja di situ.

Di kaki lima hospital pula terdengar suara bisikan, tangisan dan jeritan misteri.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/pendidikan/sastera/hospital-paling-berhantu-1.232836#ixzz4kj6AK2lS
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kebun Pak Mat

Assalamualaikum semua, nama aku Suraya. Sekarang aku pelajar universiti. Aku nak cerita pengalaman kakak aku yang ternampak hantu sewaktu kami cuti sekolah di kampung. 

Okay ini cerita dari kakak.
Haritu kakak saja pergi belakang rumah nenek naik basikal. Agak jauh kakak aku pergi untuk ambil angin. Umur kakak aku waktu tu 17 tahun dan aku 12 tahun, jadi dia agak bebas. Waktu tu dalam pukul 6pm, jadi dia tak risau sebab masih terang. 
Sampai ke kebun pakmat kakak aku menjelajah. Kebun pakmat memang tak terjaga. Tak berapa jauh dari rumah nenek aku tapi agak terlindung sebab sekitarnya hutan. Kebun tu agak luas dan ada banyak buah-buahan walaupun terbiar. Pokok pisang, rambutan, durian dan banyak lagi. Tambah lagi waktu tu musim rambutan. Banyak rambutan bersepah di tanah dan tergantung di pokok. Walaupun kakak aku geram nak petik, tapi dia tak petik. Sebab depan rumah nenek pun ada banyak buah rambutan. 
Tengah asyik kakak aku mengayuh, tiba-tiba kakak aku dengar suara macam berborak tapi dalam keadaan berbisik. Tambah pelik lagi, suara tu bukan dengar macam dari bawah, tapi atas pokok.
Kakak aku kata dia buat muka selamba tapi dalam hati hanya Allah je yang tahu. Perlahan-lahan dia kayuh lagi laju untuk patah balik ke rumah nenek. Kayuh punya kayuh, besi roda tayar basikal pulak tercabut. Memang tak ada masa untuk dia betulkan, dia jalan dengan laju sambil bawak basikal.
Masa tengah berjalan, dia masih dengar suara tu. Bahasanya tak difahami, tapi makin kuat. Perasaan ingin tahu kakak aku meluap jadi dia pun mendongak keatas untuk tengok siapa atau apa yang bercakap. Tak tahu dari mana kekuatan dia untuk tengok, tapi memang dia betul-betul terkejut bila nampak ada satu pontianak terbang atas pokok. Pontianak tu terbang kehulu hilir sekitar pokok pisang. Bajunya warna merah darah dengan rambut yang sangat panjang tapi kusut. Kakak aku kaku, memang betul-betul kelu lidah waktu tu.
Yang paling menakutkan, pontianak tu pandang kearah kakak aku macam marah sebelum makhluk tu mengilai. Kakak aku apa lagi, terus lari tinggalkan basikal. Sempat kakak aku toleh belakang dan benda tu ikut kakak aku macam kejar sambil mengilai. Kakak aku lari sampai kawasan yang terbuka. Dia toleh pontianak tu dah tak ada. Itulah kali pertama kakak aku nampak hantu, jadi esoknya dia demam.
Esoknya aku cerita dengan kawan-kawan sekampung. Sebenarnya mereka semua dah tau yang kebun pakmat memang macam ada "penjaga". Ramai yang dah nampak benda menakutkan waktu lalu tepi kebun pakmat. Ada yang kata pakmat sibuk uruskan kerja dia bandar sebab tu dia "upah" penjaga untuk jaga kebun dia. Sama ada cerita itu betul aku pun tak tahu. 
Tapi bagi aku, orang yang bela "penjaga" ni agak selfish. Iyelah, kampung ni bukan kampung dia sorang je. Walaupun itu tanah dia, tapi fikirlah orang yang lalu tepi jalan untuk melintas. Bila jadi benda-benda macam ni, orang trauma sebab nampak benda yang tak sepatutnya kita nampak. Contohnya kakak aku. Kakak aku pun satu, berani betul pergi hutan sendiri. Apa-apa pun, aku harap cerita aku ni dapat bagi pengajaran.

Dirasuk empat makhluk halus


Assalamualaikum, nama aku nana. A
ku ada kelebihan yang orang kata sebagai sixth sense. Walaupun aku tak boleh nampak secara langsung, tapi aku boleh rasa kehadiran makhluk ghaib. Aku ingin bercerita tentang satu pengalaman misteri yang aku alami
.
Kejadian itu berlaku sekitar tahun 2010. Waktu itu aku baru menamatkan diploma dan sedang menunggu keputusan. Ramai kawan-kawan aku bercadang untuk bekerja sampingan. Aku memilih untuk membantu dalam program perkhemahan anjuran universiti, disamping orientasi kepada pelajar baru persatuan kami. Lagipun pensyarah yang mengajak aku untuk ikut sekali.

Nak dijadikan cerita,
 aku ikut membantu di malam perkenalan. Program pertama malam itu berjalan dengan baik. Program kedua adalah acara duduk keliling unggun api dan renungan malam. Program itu bermula pada pukul 12 malam dimana pelajar baru bernyanyi sambil berjalan mengelilingi unggun api

Waktu acara itu berjalan, aku rasa macam ada ramai sangat orang disitu. Lebih dari yang sepatutnya. Padahal jumlah keseluruhan pelajar baru, fasilitator dan pensyarah adalah dalam 50 orang sahaja. Aku juga rasa macam ada makhluk besar yang mengawasi kami dan 
makhluk yang terbang melayang-layang di udara. Aura mereka seperti tidak senang dengan kehadiran kami. Oleh kerana itu, aku menasihati mereka untuk berhati-hati sebab aku risau kalau apa-apa jadi.

Tiba-tiba, ada seorang pelajar perempuan pengsan. Aku apa lagi, terus pergi kearah dia, sebab kebetulan aku ada dekat dengan mereka. Aku cuba nak papah dia supaya dia duduk dalam dewan. Aku dan beberapa orang fasi lain cuba untuk papah, tapi pelik sebab badan dia betul-betul berat tak sesuai untuk badan macam tu. Walaupun berat, kami papah sampai masuk dewan.

Ada jugak fasi lain yang cari ustaz dan pensyarah. Kami terus ke bilik kecik dalam dewan. Dalam tu ada katil yang kami sudah sediakan kalau ada pelajar sakit. W
aktu aku masuk ke pintu dewan, aku perasan ada angin yang berhembus betul-betul dekat pipi. Apalagi, naik terus bulu roma aku. Tapi aku taknak banyak fikir dan buat macam biasa. Kami baringkan pelajar itu dan ada seorang fasi yang urutkan kepala dia. Tiba-tiba lampu bilik mati! Kami betul-betul terkejut sebab cuma bilik tu saja lampu tiba-tiba mati. Kami cuba tengok kalau ada masalah lampu atau elektrik tapi tak ada. Ramai yang berkumpul diluar bilik. Ustaz dan pensyarah terus datang untuk tengok keadaan budak tu.

Tiba-tiba pelajar perempuan tu duduk, tapi pandangannya kosong. Ustaz seperti tau apa yang nak buat terus bagi salam. Kami mengarahkan pelajar lain untuk duduk luar sebab tak mahu yang lain takut. Yang tinggal dalam bilik tu cuma ustaz, pensyarah dan beberapa orang fasi termasuk aku. Lepas ustaz bagi salam, terus pelajar tu jawab salam. Kami betul-betul terkejut sebab bukan suara perempuan yang keluar, tapi suara garau macam lelaki! Kami perasan macam ada 3 suara berlainan yang jawab salam dan suara itu keluar dari mulut pelajar tu! Terus ustaz tanya beberapa soalan dekat "pelajar" tu.

ustaz : assalamualaikum, boleh saya tau nama kau?
suara 1: wa`alaikum salam, saya anaknya..
suara 2: wa`alaikum salam, saya neneknya..
suara 3: wa`alaikum salam, saya penjaga dari abangnya...
suara 4: wa`alaikum salam, saya penjaga dari ibunya..
ustaz : kenapa kamu ada dalam badan budak ni?
suara 1: kami disini untuk melindungi anak ini, kerana banyak makhluk yang ingin ganggu dia..
ustaz : keluar kamu dari badan dia sekarang. Kami yang ditugaskan untuk jaga dia sementara dia disini, jadi kamu semua tak perlu risaukan dia.
suara 1 : baiklah jika begitu, assalamualaikum.
suara 2 : assalamualaikum...

Lepas dengar salam dari suara terakhir, pelajar itu terus tidur dan lampu bilik pun terpasang dengan sendiri. Pelajar itu pun terus sedar.

Siasat punya siasat, kami dapat info dari kawan-kawan rapat pelajar itu yang dia memang diberi saka dari ibunya. Dan pelajar itu selalu dirasuk oleh 4 makhluk halus itu juga, lagi kalau dia berada di tempat-tempat yang agak keras.

Kisah aneh diSekolah



Assalamualaikum semua. Aku dulu budak sekolah agama. Waktu tingkatan tiga, aku alami masalah gangguan makhluk halus. Maklumla kan sekolah berasrama penuh.

Pernah ada kes kecurian besar-besaran di sekolah. Ada seorang pelajar bangun pagi nak mandi, dia terjumpa tiga dompet tersusun satu-satu atas setiap tiga anak tangga. Malam berikutnya pun jadi lagi macam tu.

Ada kejadian, seorang akak ni memang rajin belajar. Bilik belajar dekat dengan ampaian. Akak tu perasan ada sesuatu tegur dia. Tengok belakang ada pocong. Terus dia lari naik bilik. Memang kisah pocong tu tersebar satu asrama.

Setiap malam ada pelajar nampak pocong berkeliaran di koridor. Memang setiap bilik diarahkan oleh warden untuk 
dua orang berjaga setiap jam. Lampu koridor diarahkan tutup. Bayangkan dalam gelap gelita tu, hanya Allah saja yang tahu. Rasa takut sangat sampai ada yang sanggup letakkan AlQuran di atas pintu masuk bilik. Dan masing-masing selit yaasin bawah bantal. Kes tu sampai sekarang masih belum tahu siapa dalangnya.

Yang paling aku tak boleh lupa waktu aku tingkatan lima. Ada rombakan di sekolah. Pelajar tingkatan enam akan diserap masuk. Itu batch pertama pelajar tingkatan enam. Waktu tu aku jadi ketua bilik. Aku sebilik dengan dua orang kakak tingkatan enam. Pada mulanya hari-hari berjalan macam biasa. Cuma menjelang musim peperiksaan, pelajar kebanyakannya akan berjaga. Jadi 
dua orang kakak ni memang suka belajar di bilik belajar bawah. Macam biasa setiap pagi kami akan ada perhimpunan pagi, baca Al-Quran dan tafsir. Tingkatan lima selalunya berbaris sebelah Tingkatan enam. Aku duduk sebelah akak tu. 
Nak dijadikan cerita, tengah baca Al-Quran tiba-tiba akak tu jatuh. Aku memang tak sedap hati. Jatuh orang pengsan dengan jatuh orang yang ada “benda” ni lain. Jatuh dia bunyi macam burung jatuh atas lantai. Memang ringan sangat. Terus kawan-kawan dia angkat dan bawa masuk kelas.

Waktu dalam kelas, tiba-tiba dengar ada orang menjerit sambil berlari dekat koridor. Memang dari cerita kawan-kawan dia, akak ni ada masalah gangguan. Ada benda yang menumpang dalam badan dia. Dalam kelas waktu subjek agama, mesti dia menjadi-jadi. Dia akan mengamuk lempar barang yang ada atas meja. Cakap seorang diri. Macam-macam lagi lah. Ada satu hari, waktu program bacaan yasin disurau, waktu tengah baca yasin badan aku dah mula sakit-sakit. Menyucuk satu badan dan dada aku sesak nafas. Aku dah rasa lain macam. Tiba-tiba kakak tu menjerit histeria. Dia marahkan orang yang jadi ketua bacaan yasin tu. Dia jerit-jerit. Nasib la kawan-kawan dia dah berpengalaman dan bacakan sesuatu dekat dia.

Malam tu lepas habis waktu prep aku terus naik bilik. Macam biasa semua koridor dan bilik masih gelap sebab aku selalu tak makan supper. Bilik aku tu samar-samar sikit sebab ada lampu jalan bahagian koridor belah tingkap tu. Aku masuk pintu bilik aku sambil cuba capai suis lampu. Waktu tangan aku nak capai suis lampu, tiba-tiba aku nampak sesuatu tengah mencangkung atas katil akak yang histeria tadi sambil tengok aku. Aku buat tak tahu ja sebab sebelum ni pon aku pernah nampak. Aku baca bismillah and terus hidupkan lampu. Aku sebenarnya berani bila keadaan terang sahaja. Dalam gelap aku penakut. Keesokannya dengar cerita ada pelajar jumpa serbuk kayu dan ulat atas katil dalam satu bilik.

Minggu cuti persekolahan. Ramai pelajar balik. Tapi aku dan beberapa orang pelajar lagi tak balik. Maklumla tak ada orang nak ambil. bayangkan dalam satu asrama yang ada 21 bilik, tinggal kami 20 orang sahaja. Nasib baik dalam bilik aku ada seorang lagi tak balik. kira kami berdua saja dalam bilik tu. Aku jenis spesis tidur awal. Jadi memang aku tidur awal malam tu. Aku tersedar tengah malam sebab aku rasa ada sesuatu sentuh tangan aku. Waktu aku terjaga, aku nampak kelibat orang lari ke hujung almari dan mencangkung sambil tengok aku. Aku buat-buat berani dan pejam mata balik. Lepas tu aku perasan benda tu keluar balik berjalan ke arah tandas. Bayangkan tapak kaki pon aku tak dengar waktu dia jalan. Aku pejam mata balik. Beberapa minit lepas tu benda tu datang lagi berjalan masuk bilik dan keluar. Waktu tu takut sangat Allah saja yang tau. Kawan aku sedap tidur nyenyak tapi tak tutup pintu bilik. Aku terus bangun tutup pintu dan buka satu lampu. Waktu aku cuba nak pejam mata balik, aku perasan ada orang buka pintu. Benda tu buka pintu sambil tenung aku, pastu dia tutup kuat dan terus berlalu ke arah tandas.

keesokannya waktu subuh di surau. Aku cerita dekat kawan aku kejadian semalam. Dan rupanya, kawan-kawan aku yang lain pun kena ganggu malam tu. Dari segi kawan-kawan aku cerita tentang benda tu, memang sama dengan apa yang aku nampak semalam.

Ini kisah benar yang aku alami. Kebanyakan orang yang tak pernah alami mungkin takkan percaya kisah aku.

Mesin Jahit Berhantu II

Sambungan dari yang lepas...

Mungkin aku tak cerita tentang abah aku. Abah cuma tidur rumah nenek 2 hari saja. Lepas hantar kami balik kampung, abah ikut kawan dia outstation sebab nak membantu. Kawan abah kontraktor. Abah memang tak biasa duduk rumah, mesti nak buat sesuatu. 

Aku ada cerita dekat abah tapi abah kata, “Jangan sampai adik ikut die!”. Masa abah cakap ni aku tak berapa paham. Aku ingat abah cakap macam ibu; jangan layan perasaan”. Rupanya abah tahu, sebab tu abah tak nak lama dekat kampung. Lagipun ni nenek belah ibu aku. Biasalah, mana ada menantu lelaki suka duduk rumah mentua lama-lama.

Lepas nenek aku campak pinggan ke lantai, aku memang bentak habis. Aku jerit kearah nenek sekuat hati sebab aku nampak makhluk tu belakang dia. Aku tahu bukan nenek yang marah tapi benda tu. Sorang perempuan tua rambut panjang! Muka dia bengis. Bengis sampai aku tak tahu nak huraikan macam mana. Walaupun masa tu tengahari. Benda tu wujud lepas aku baca ayat Qursi. Ibu pun nampak tapi ibu senyap tapi menangis.
Aku lari masuk bilik. Dalam bilik, aku tenung mesin jahit tu. Aku nampak mesin jahit tu guna jarum emas! Aku rasa unik sebab aku tak pernah jumpa jarum emas. Aku capai tudung dan keluar dari rumah nenek. Aku tak berapa tahu selok belok kampung ni, tapi aku bawak basikal ke rumah kawan sekelas aku. Aku mintak kawan aku bawak ke rumah ustaz yang ajar aku subjek agama dekat sekolah.
Sampai rumah ustaz, ustaz pelik tengok aku. Kawan aku pun cerita dekat ustaz apa yang aku alami dirumah nenek. Ustaz mula berubah muka. Aku tahu die seram. Aku tahu die sendiri terkejut. Tapi aku tak kira! Aku nak benda tu keluar dari rumah!
Ustaz bawa kami naik kereta ke rumah seorang imam. Aku tak kenal semua orang dekat kampung ni. Ustaz aku cakap pakcik tu imam. Pakcik tu mula tanya aku macam-macam soalan dan aku pun jawab.
Pakcik tu kata itu mungkin saka. Saka tu nak beralih tempat dan nenek aku dah tak larat nak jaga. Aku tanya pakcik tu, kenapa benda tu lebih agresif pada waktu malam di mesin jahit? Tapi aku disuruh balik dulu. Dia berikan air bacaan surah ruqyah. Aku pun ada hafal sikit surah-surah ruqyah sebab di sekolah lama dulu, memang kami disuruh hafal. Sampai rumah, nenek terlantar sakit. Aku tuang air yang pakcik tu bagi dalam cawan untuk nenek minum. Nenek pun minum.
Tahu apa yang jadi?
Nenek terus muntah jarum! Kalau orang santau biasanya keluar segala paku atau kaca, tapi nenek aku keluar jarum. bukan jarum biasa tapi jarum jahit yang besar. Jarum mesin yang warna emas pun ada. Banyak sangat ya Allah. Aku ngeri tengok nenek macam tu. Nenek umur 89 tahun, kudrat dia untuk muntah buatkan aku menangis. Ibu pun nangis sama.
Semakin hari semakin teruk. Aku tak boleh tidur sendiri sebab katil aku macam berat sebelah. Macam ada orang sebelah aku. Jadi aku tidur dengan ibu di bilik nenek sebab ibu jaga nenek. 

Lain pula ceritanya bila tidur bilik nenek. Setiap pukul 3 pagi, aku akan nampak pempuan tua tu hisap kaki nenek. Aku baca ayat Qursi dalam hati, cuba untuk tak buka mata. Kadang-kadang aku nampak arwah atok jalan-jalan dalam bilik nenek. Allah.. Hampir gugur jantung tapi aku bertahan. Aku genggam baju ibu sebab terlalu takut. Tiap kali benda tu hisap kaki nenek, nenek menjerit meracau. Aku jadi stress yang teramat. Benda sama berlaku untuk beberapa malam.
Aku perasan nenek akan sakit teruk bila malam. Jadi malam 3 hari selepas kejadian, aku dan ibu baca yasin sebelah katil nenek. Dari awal kami datang, nenek tak bagi kami baca yaasin sebab dia kata bising susah nak tidur. Tapi kali ni aku berkeras cakap dekat ibu untuk baca yasin sebelah katil nenek. Sangkaan aku, nenek terlantar saja dan benda akan bertambah baik. Tapi aku salah. Mesin jahit di bilik tidur sebelah mula berbunyi macam ada orang menjahit dengan ganas! Ibu dah mula nangis dan berhenti baca. Aku tahu ibu takut sebenarnya, jadi aku kuatkan semangat. Aku baca sekuat hati. Nenek dah menggelupur kata dia sakit. Aku tak peduli. Aku tak nak benda ni beralih dekat ibu aku. Aku pun taknak! 

Nenek tak ada anak lain selain ibu lepas semua anak-anak lain tak hiraukan dia. Awalnya aku marah dengan pakcik & makcik aku sebab tak jaga nenek. Mereka duduk lagi dekat dengan rumah nenek dari kami. Aku dan ibu yang duduk jauh yang diminta balik ke kampung. Tapi lepas apa yang jadi, aku tahu pakcik & makcik aku sebenarnya taknak benda ni beralih tuan! pakcik & makcik aku tak nak syaitan yang nenek bela!
Ibu capai telefon di tepi katil. Ibu telefon ustaz kampung ni sebab ibu tengok nenek dah terlalu nazak. Aku gagahkan diri baca yaasin sampai habis. Mulut nenek makin berdarah, ada lagi banyak jarum keluar dari mulut. Kaki nenek pun mengelupas teruk. Lama-lama aku menangis. Menangis sebab aku kesiankan nenek. Dia dah tua! Aku habiskan baca yasin dan sapu muka nenek sambil selawat. Kau nak tau muka nenek aku macam mana masa tu? Macam mayat yang dah bertahun mati! Teruk seteruknya!
Jiran aku yang dengar bunyi riuh rendah dekat umah mula datang. Makcik-makcik yang datang ni macam berbisik-bisik. Langsung tak membantu. Bacakan yaasin ke. Mengumpat je lebih! Ada yang aku dengar “pergi beralih kat sapa?” diorang tanya satu sama lain. Masa ni aku memang geram.
Ada seorang makcik ni. Dia duduk betul-betul depan pintu bilik nenek. Dia tak bagi orang lain masuk sebab die tak nak orang lain nampak aib nenek aku dalam keadaan tu. Nanti kena umpat keji orang kampung. Dia tahu nenek ada saka dan nenek bela hantu raya! Allah.. Berderai jantung aku. Masa ni aku memang marah dengan nenek sampaikan aku cakap dalam hati, “Ya Allah.. Matikanlah nenek aku sekarang!” sebab aku dapat rasakan lagi lama nenek hidup, kami yang lebih menderita.
Ustaz pun sampai. Sekali dengan imam kampung. Semua tahu nenek ada saka. Tengok pada keadaan nenek, imam suruh buka semua pintu dan tingkap. Kau bayangkan malam-malam buta kene buka semua pintu tingkap! Sejuk lagi sebab angin kuat malam tu.
Pak imam azankan bilik nenek. Makin lama makin bingit dengan bunyi mesin jahit dari bilik aku tu. Kuatnya nauzubillah. Ditambah dengan bau busuk yang teramat. Imam azankan setiap penjuru rumah. Makin imam kuat laungkan azan, makin kuat aku dengar bunyi mesin jahit. Aku nampak kaki nenek pecah teruk sebab banyak jarum keluar dari kaki. Muntah lagi. Aku rasa beratus batang jarum dalam baldi dia muntahkan.
Aku hanya mampu nangis. Ibu pun sama. Nenek pegang tangan ibu, nenek mintak ibu terima. Tapi aku tegas cakap kat ibu utk jangan terima! Sekali kalau terima, inilah akibatnya nanti!
Ibu antara dua. Nak terima atau tak. Sebab aku tahu ibu kesian tengok nenek. Ustaz kata jangan terima. Nanti akhirnya begini.
Disebabkan ibu tak nak terima, nenek nazak begitu untuk beberapa hari. Sepanjang hari-hari itulah, mesin dalam bilik tidur aku tu bising macam orang tengah menjahit. Aku tanya ibu, siapa yang bawak mesin tu turun? Ibu cakap nenek yang bawa turun dari loteng.
Maknanya apa? Maknanya mesin nilah yang aku dengar di loteng tu!!
Aku minta ibu cakap jujur, supaya cerita dekat aku. Dan ibu pun cerita. Ibu cerita aku ni anak ke empat sebenarnya. 3 lagi abang & kakak aku dah mati masa dalam janin lagi sebab jadi makanan hantu raya nenek. Dulu nenek orang susah. Ambik upah menjahit untuk sara ibu & adik beradik. Jadi nenek bela saka, ambik susuk dan bela hantu raya supaya ramai pelanggan. Atok meninggal lepas berjaya buang satu daripada susuk yang nenek pakai. Mesin jahit tu nenek dah puja supaya tak berat untuk dia menjahit. Ibu rahsiakan benda ni dari aku sejak aku kecik. Aku makin benci dekat nenek masa tu. Benci teramat!! Aku memang mintak dia mampus cepat sebab die dah menyusahkan aku dan ibu.
Dipendekkan cerita, aku telefon ustaz aku di sekolah lama. Dia antara pengamal perubatan isla, di Darul Syifa’. Aku bagi alamat rumah kampung dan minta dia datang dengan jemaah yang lain.
Esoknya petang nak dekat senja baru ustaz tu sampai dengan beberapa orang yang lain. Mereka kata, mereka bertolak awal dan sepatutnya sampai tengahari, tapi mereka seperti di “sorok” dan hanya berpusing-pusing di kawasan sama hinggalah waktu senja. Aku yang menyaksikan akibat belaan ni jadi insaf! Takut pun ada. Bukan takut dekat syaitan, tapi takut azab Allah kelak sebab menduakan Dia.


Ustaz minta izin untuk masuk bilik nenek. Ustaz buka semua pintu & tingkap bilik. Terus ustaz mula azan. Mata aku mula melilau pandang kiri kanan. Sebab ustaz nak cuba buang saka tu dari nenek. Aku risau kalau saka tu pergi ke aku!

Ustaz minta aku dan ibu keluar dari bilik nenek. Ustaz azan dan aku dengar beberapa ayat Quran yang ustaz baca kuat. Pada masa sama, aku dengar nenek muntah dan lantai bilik terderai bunyi jarum.
Seorang pembantu ustaz keluar dari bilik tu dan tanya kami, “Mana nenek simpan jarum emas?”
Aku tak tunggu lama, terus tunjukkan jarum emas yang aku nampak di mesin jahit bilik aku. Ibu termangu tak tahu kat mana nenek simpan. Pembantu ustaz bacakan ayat di jarum tu sebelum cabut dari mesin sebab dia macam payah nak cabutkan jarum pada mulanya. Lepas cabut, nenek menjerit kuat. Seram bila aku dengar suara nenek meraung!
Pembantu ustaz terus bungkus jarum emas tu dalam kain putih dan diikat sekali dengan duri landak. Aku tak tahu kenapa mesti guna duri landak.
Ustaz panggil ibu masuk, minta ibu ajarkan syahadah ditelinga nenek. Masa tu mata nenek dah tersembul macam hampir terkeluar. Mata nenek keatas. Tangan dan kaki semua kejang. Aku hanya mampu istigfar tengok keadaan nenek. Pembantu ustaz letak jarum yang diikat dalam bekas botol kaca dan di tutup kuat.
Lama keadaan nenek macam tu, hinggalah subuh esoknya. Nenek akhirnya menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan yang bagi aku cukup ngeri. Muka nenek lebam-lebam macam kena pukul dengan kuat! Badan nenek pecah-pecah bernanah.
Aku, ibu, mak sedara dan seorang makcik sama-sama mandikan jenazah. Aku belajar dari mereka. Kami semua senyap. Aku nampak ibu teramat sedih. Lebih daripada mak sedara aku yang lain.

Lepas selesai urusan dan tahlil, ustaz kata dia akan buang benda tu di sungai. Tapi dia pesan kat aku, benda ni tak bermakna akan hilang selamanya. Benda tu akan cuba untuk masuk kalau aku leka. Sebab tu sampailah sekarang, kalau aku buat sesuatu, aku rasa ada benda yang memerhati.
Cerita aku ni untuk pengajaran bukan untuk aibkan nenek aku. Nenek aku dah meninggal lebih 3 tahun.

Mesin Jahit Berhantu I

Assalamualaikum semua. Aku nak kongsi dengan semua pembaca tentang satu cerita seram yang aku lalui ketika aku dibangku sekolah. 
Ceritanya bermula bila aku sekeluarga berpindah ke kampung selepas ayah pencen dari kerja kerajaan. Masa tu aku di tingkatan 4. Jenuh nak uruskan pertukaran sekolah sebab tahun depannya SPM. Tapi alhamdulillah, urusan pertukaran sekolah dipermudahkan dan aku dapat sambung sekolah dikampung.  

Ibu aku seorang tukang jahit dan mempunyai kedai. Jadi, selepas berpindah semua kelengkapan menjahit ibu terpaksa diangkut pulang ke kampung. Sementara mencari kedai yang murah untuk disewa, semua barang-barang ibu ada di rumah nenek. 
Rumah ni sangat besar. Nenek cakap ini rumah moyang aku dulu. Ada 2 tingkat dan 8 bilik. Boleh pilih nak tidur mana-mana bilik. Aku pilih bilik sebelah bilik nenek. Bagi aku, lagi besar rumah tu, lagi seram. Lagilah kalau rumah kampung. Tambah lagi, hutan belakang rumah. Rumah nenek rasa seram lain macam sampai aku pun tak senang.

Pada waktu itu, nenek aku sakit teruk tanpa dapat diketahui sakitnya oleh doktor. Sepanjang nenek sakit, ibu tak menjahit kerana menjaga nenek. Sampailah satu hari lepas aku bangun dari tidur. Aku terperanjat nampak nenek duduk di bangku dan menjahit. Padahal semalamnya aku tengok nenek sakit. Aku cerita kepada ibu, dia cakap nenek sakit sebab rindu nak menjahit macam zaman muda-muda dulu. Aku diamkan aje.
Hari berikutnya, waktu aku tengah study dalam bilik bawah, aku mula dengar orang sayup-sayup panggil nama ibu. Aku tgok jam, pukul 11 malam. Bagi aku masih awal lagi jadi aku pun keluar dari bilik dan intai tepi tingkap. Manalah tahu ada orang dekat luar, tapi takda. Elok aku nak masuk balik ke bilik, aku dengar bunyi mesin jahit dekat bilik loteng. Aku mula pelik, sebab tak ada siapa naik ke loteng lepas atok meninggal. Siapa yang naik atas tu menjahit?
Hati aku membuak-buak nak tahu, jadi aku naik tingkat atas. Untuk ke loteng aku kena lalu bilik stor dulu. Elok aku nak masuk bilik stor, nenek panggil aku. Tapi suara dia seram! Sebab suara dia memang garau dengan suara tua dia lagi. Meremang bulu roma aku. Aku turun bawah semula. 
Aku masuk bilik nenek, aku nampak nenek terlantar sakit. Makan pun ibu aku yang suapkan. Aku jadi tambah pelik. kalau macam ni keadaan nenek, siapa yang panggil aku tadi? 
Esoknya, aku bangun tidur dan aku nampak ada mesin jahit lama kepala warna hitam dalam bilik aku. Ukiran dimesin ni cantik sangat. Tapi aku pelik, ni mesin siapa? Mana datang mesin goyang pakai kaki ni? Setahu aku ibu pakai mesin eletrik. Elok aku nak dekat dengan mesin tu, tiba-tiba nenek muncul dekat sebelah. Aku punyalah terkejut masa tu. Aku tanya nenek, bila nenek sampai? Dia diam dan hulur aku kain putih. Dia cakap tolong jahitkan tepi.
Aku dengan muka tak mandi pun duduk dekat bangku mesin tu. Kau tahu ape jadi lepas aku duduk? Aku rasa mata aku gelap! Gelap tak nampak apa-apa! Terus aku bangun. Aku mengucap dan istigfar banyak-banyak. Terus aku keluar dari bilik tu.
Aku cakap dengan ibu apa yang jadi tadi. Ibu cakap jangan layan perasaan. Masalahnya tu bukan perasaan! Tu kenyataan! Aku bengang bila ibu tak percaya cakap aku. Aku tekad nak ibu rasa apa yg aku rasa. Jadi aku ajak ibu tidur dengan aku dibilik bawah. Disebabkan aku anak perempuan tunggal, ibu layankan.
Malam tu aku tidur dengan ibu. Aku terlelap awal sebab aku agak penat haritu. Dan tak semena, aku terjaga pada tengah malam sebab terdengar bunyi mesin jahit kaki yang agak bingit disebabkan karat.
Aku buka mata tapi alangkah terkejutnya aku bila nampak seorang perempuan tua berambut panjang. Dia duduk di bangku mesin jahit membelakangkan aku dan sedang asyik menjahit. Aku toleh sebelah katil, ibu sedang tidur. Siapa yang sedang menjahit tu? 

Reaksi aku terus ingin menjerit, tapi suara aku tak ada!  Aku tak tahu mana hilang suara aku. Jadi aku diamkan diri, pejamkan mata dan baca ayat Qursi dalam hati sebanyak yang mampu. Tangan aku cuba kejutkan ibu disebelah tapi hampa. Ibu lena tidur tak sedar apa. Masa tu, Allah saja tahu apa aku rasa. Aku tak sabar nak tunggu siang sebab aku nak kepastian dari nenek. 
Esoknya aku cerita dekat ibu apa yang aku nampak. Ibu terdiam. Muka ibu pucat. Aku dapat rasa ibu simpan rahsia. Aku paksa ibu cakap tapi masa tu tiba-tiba nenek datang kata lapar dan nak makan. Nenek pandang aku, tapi tak pandang mata aku. Die lebih banyak mengelak. Masa nenek tengah makan, aku baca ayat Qursi dalam hati. Lepas aku habis baca, terus dia campakkan nasi dalam pinggan ke lantai. Kau boleh bayangkan apa aku rasa?
Sejak kami berpindah ke kampung, banyak benda yang aneh lain yang aku alami. Pernah aku nampak kelibat atok dalam rumah. Setiap masa aku rasa macam ada orang tengah perhatikan aku. Rumah ni pula rumah kayu, jadi kalau berjalan memang akan dengar bunyi-bunyi kayu rumah. Jadi bila malam aku mesti akan dengar bunyi kayu macam orang berjalan. Aku pelik, siapa yang selalu berjalan waktu malam?