Siapa yang telefon?


Hai, nama aku Ana, aku baru habis belajar. Cerita aku pendek tapi masih lagi menjadi misteri hingga hari ini.

Aku tinggal dirumah keluarga. Kami ada telefon rumah. Telefon tu bunyinya kuat sampai satu rumah boleh dengar. Kalau tidur, boleh terbangun bila telefon itu berdering.

Yang menakutkan, telefon rumah aku selalu berdering antara pukul 1 atau 2 pagi. Bukan tiap-tiap hari, cuma kadang-kadang. Bila aku angkat senyap pula macam tak ada orang. Bila tutup, kadang-kadang berbunyi lagi.

Tambah pelik, telefon tu mesti berbunyi bila aku seorang di rumah. Untuk kepastian, aku tanya keluarga aku yang lain kalau mereka dapat panggilan misteri macam aku. Tapi semua tak pernah. Tak tahulah mungkin aku ja yang rajin angkat telefon. Tapi bunyi telefon tu kuat, takkan orang masih malas nak angkat?

Sampai sekarang, kalau dengar bunyi telefon awal pagi memang terus meremang bulu roma aku. Kadang-kadang ada juga yang telefon lewat malam. Iyelah, kadang-kadang ada keluarga atau kawan rapat yang telefon. Terus aku tegur supaya jangan telefon lewat malam. Bukan apa, aku tak suka asyik rasa takut je.

Aku tak tahulah siapa yang telefon. Nak kata kenakan aku, nombor ni sikit orang je tahu. Lagipun setakat ni tak ada pun orang jumpa aku cakap berkaitan ni. Mungkin bagi hint sikit ke. Kalau kawan aku, rajin betul dia telefon rumah aku ni sebab aku pun ada handphone sendiri.

Nombor Misteri

Aku nak kongsi pengalaman aku yang berlaku masa aku masih lagi belajar di IPTA. Ianya berlaku kira-kira 17 tahun yang lalu pada tahun 1999. Skarang aku dah berumur 35 tahun.

Aku suka beli handphone dan selalu tukar handphone baru. Zaman tu kalau ada handphone baru memang orang akan tengok. Aku suka sangat singgah kedai handphone dan tengok handphone yang terbaru. Masa tu handphone Nokia paling terkenal. Sesiapa yang pakai handphone Nokia Butterfly memang mewah dan aku antaranya.

Bermulalah episode misteri dalam hidup aku..


Kisah pertama:
Ada satu hari pukul 8:30 malam, kami iaitu aku dah beberapa pelajar lain ada perjumpaan fasilitator. Masa tu handphone aku tak ada bateri. Jadi aku tinggalkan handphone aku di bilik hostel. Aku aktif di Universiti dulu, jadi aku selalu pergi perjumpaan dan biasanya akan balik lewat. Selalunya balik pukul 10.30 malam.

Lepas diskusi habis, kami semua balik hostel masing-masing. Sampai bilik, aku tengok handphone aku kalau ada mesej atau telefon dari orang tapi tiada. Tak lama lepas tu, kawan aku Suhaila telefon.

Jam sudah 11:30 malam, dia tanya kenapa aku call dia banyak kali. Dia dapat miss call dari aku dalam 20-30 kali masa aku pergi perjumpaan. Dia risau sebab aku telefon dia banyak kali, takut kalau ada kecemasan. Tapi aku tak call langsung. Lagipun, macam mana aku nak call dia sedangkan aku baru tukar handphone baru dan tak ada nombor dia lagi. 
Kami jadi pelik sebab kami sama-sama datang perjumpaan tu. Aku dan Suhaila antara fasilitator.


Kisah kedua:
Aku dapat call lepas aku solat Isyak. Nombor telefon tu macam dari talian rumah, tapi aku tak tahu siapa. Mula-mula aku tak nak jawab, tapi aku fikir mungkin nombor kawan aku yang aku belum simpan. Jadi aku angkat macam biasa. 

Aku dengar suara lelaki yang call, tapi rasanya aku tak kenal. Dia tanya; kenapa aku asyik buat missed call dekat talifon pejabat dia? Nombor yang aku guna ni yang call dia. Bila dia angkat untuk jawab, aku putuskan call. Banyak kali nombor aku naik sampai dia dah tak tahan dan call aku balik.
Masa tu dia betul-betul marah. Dia kata kalau belajar, belajar betul-betul jangan nak menggatal telefon sana sini. Aduh.. Masa tu aku terdiam sebab aku tak tau nak kata apa.


Kisah ketiga:
Aku nak pergi makan di restoran, luar dari hostel. Masa tengah berjalan, tiba-tiba telefon aku berdering. Aku angkat, tapi macam tak ada orang di talian. Lepastu, bila aku tengok balik received call, tak ada history orang call waktu tu. Macam mana boleh jadi macam tu?


Kisah keempat:
Pukul 12:30 pagi tu, semua kawan sebilik aku dah mengantuk nak tidur. Seorang kawan aku suruh tutup lampu, jadi aku tutup dan bilik jadi gelap sangat.
Tiba-tiba telefon Kawan aku berbunyi. Terus bilik jadi bising. Kawan aku dah mengantuk sangat mintak tolong aku ambikkan handphone dia. Lagipun aku lagi dekat dari bunyi tu. Aku mencari tapi tak jumpa sampai la bunyi berhenti.

Lagi sekali handphone dia berbunyi. Aku masih mencari tapi tak jumpa. Sedangkan lampu handphone pun tak menyala. Biasanya kalau ada orang call, screen handphone akan menyala-nyala, tapi tak. Kawan aku macam nak marah aku sebab aku tak jumpa handphone dia. Lama sikit baru aku jumpa. Bila bagi dekat dia handphone tu berhenti berbunyi. Dua kali terlepas angkat. Kawan aku tengok balik siapa yang call dia malam-malam tu.
Lepas tu dia cakap, MiMi, kenapa kau call aku?
Aku cakap, aku tak call dia. Masa tu pun aku nak tidur, dah siap nak panjat katil sebab katil aku belah atas. Muka aku dah pucat masa tu.
Kak Ma lagi sekali tengok handphone dia. Cuba untuk pastikan, tapi memang sah panggilan tu dari handphone aku. Dua kali miss call dari aku.
Aku tak puas hati, jadi aku buka lampu bilik. Aku ambil handphone aku dan tunjuk kawan aku yang aku tak buat call.
Masa aku ambik tu, handphone aku tengah mati (switch off) dan aku tunjuk kawan aku. Serta merta kawan aku menjerit ketakutan. Aku terus bukak bateri dan buang nombor tu. Malam tu kami tidur sekatil dengan lampu menyala. 
Jadi lepas tu aku nekad tak pakai nombor tu. Aku beli prepaid dan top up setiap bulan. Lagi bagus daripada terima panggilan pelik-pelik dan ada mangsa missed call.
Aku bayar semua bill dan matikan nombor tu. Bill talifon sampai rumah. Bila aku tengok, tak ada history nombor yang call semua tu.



Apa misteri disebalik nombor tu? Aku pun tak tahu..

Terbuka hijab selepas diserang histeria

Assalammualaikum semua. Aku peminat tegar cerita hantu dan aku suka tengok cerita hantu. Aku tak pernah tengok hantu depan mata sampailah satu masa. Aku terkena histeria di sekolah bila ada bangunan baru nak dibuat. Ustaz kata, kawasan “dia” dah diganggu, jadi dia ganggu budak-budak sekolah termasuk aku.
Sejak dari kena histeria, aku boleh nampak dan rasa kalau “benda” tu ada di sekeliling aku. Mula dari situ, aku pernah nampak hantu pocong, puntianak, lembaga hitam (selalu), orang tua bongkok & etc. Aku bukan nak bangga tapi sebenarnya aku rasa tak tenteram sebab benda tu mula menggangu aku. 
Rumah aku 2 tingkat & ibu aku selalu jatuh tangga. Padahal terang benderang kawasan tangga tu. Selalu pagi-pagi kalau ibu aku nak turun bawah buat breakfast mesti kaki dia macam terlanggar sesuatu dan jatuh. Aku pelik, nak kata ibu aku rabun sakit, mmg tak. Sihat walafiat, mata pon cun lagi. 

Pernah aku tertidur di sofa ruang tamu bawah. Masa tu semua keluarga aku dalam bilik. Dlm pukul 3 pagi aku tersedar sebab terdengar ada suara bercakap-cakap sebelah aku. Bila aku bangun, masyaAllah! Ada nenek tua pegang tongkat duduk di tangga. Masa tu hanya Allah je tahu perasaan aku. Lepas aku baca ayat kursi terus benda tu hilang. Esok aku terus bagitahu ibu, ibu kata sebenarnya ada benda menumpang kat rumah kita. Pernah aku nampak lembaga hitam duduk depan rumah aku. Macam menjaga rumah aku. Patutlah bila malam, orang tak jumpa rumah aku.
Bila macam-macam jadi, keluarga aku terus jumpa ustaz yang biasa rawat kami. Ustaz kata memang ada yang menumpang di rumah tu. Lepas semua, alhamdulillah dah okey. Ibu dah tak jatuh lagi dan orang dah boleh nampak rumah aku.
Sejak dari histeria dulu, aku dah boleh rasa kalau benda tu ada.
Paling banyak kali aku jumpa hantu masa aku belajar matrik. Selama setahun aku duduk situ, setahun jugak hantu kenal aku. Aku pernah kena tarik katil masa tengah tidur. Masa mula-mula masuk, felo ada cakap, jangan belajar sampai lewat malam. Lepas pukul 12am, kena tidur dan jangan belajar. Aku peliklah sebab aku jenis belajar pukul 2-3 pagi ke atas. Pernah, masa tengah tengok cerita conjuring, tiba-tiba almari aku terbuka dan dengar bunyi tepuk tangan. 
Tips: cakap kuat-kuat bila kene kacau 'Aku tak kacau kau, kau jangan kacau aku!'

Misteri Rumah Lama

Assalamualaikum semua. Aku Arkitek. Kerja aku banyak melibatkan buildings and drawings. Aku penakut. Tengok cerita Zombi Kampung Pisang pun aku jerit separuh nyawa.
Tahun 2008/2009, client boss aku nak buat resort guna rumah-rumah Melayu lama dari Kedah, Melaka, Johor etc. Dia dah beli 12 biji rumah Melayu lama untuk di’renovate’kan jadi resort. Untuk projek ni, boss tugaskan aku untuk buat reinforcement detail drawings untuk rumah-rumah ni. Aku perlu pergi sana, ambil gambar dan fahami bentuk rumah-rumah ni. Kami mula dengan rumah Ipoh dulu.
Rumah Ipoh ni tersangatlah besar. Macam rumah-rumah orang kenamaan dulu kala. Oleh kerana aku terlalu penakut, aku harapkan kawan aku, lelaki ni akan jadi ketua. Tapi sebenarnya dia pun takut. Maka terkepit-kepitlah kami masuk rumah tu. Kawan aku bukan saja penakut, malah mempunyai mulut yang celupar. Bila masuk dalam rumah tu, dia cakap rumah tu macam penah terbakar. Perasan dia terlepas cakap, kami cepat-cepat keluar dari rumah tu. Kami cuma tangkap gambar dari luar.
Seminggu kemudian, boss minta aku lukis rumah Ipoh tu. Untuk pastikan lakaran aku, aku rujuk gambar-gambar yang kami dah ambil. Dalam banyak-banyak gambar, ada 1 gambar paling jelas. Jadi aku guna gambar tu untuk pastikan lakaran aku. 

Masa aku teliti bahagian tingkap, aku nampak sesuatu. Setahu aku tak ada pun tingkap berkaca, tapi tengok gambar macam tingkap tu berkaca. Aku edit bagi jelas guna Adobe Photoshop untuk kepastian. Alangkah terkejutnya lepas aku nampak satu makhluk yang terbakar, dengan kepala terlentok sebelah kiri, lekatkan dua-dua tapak tangan dia kat tingkap tu dan menyeringai. Apa lagi, aku menjerit sekuat hati. Mouse & keyboard pun tercampak sampai jatuh berderai.
Inilah cabaran aku sebagai arkitek dan aku masih simpan lagi gambar tu. Walaupun aku Arkitek, aku sendiri tak faham kenapa orang sanggup bayar mahal-mahal untuk duduk rumah-rumah lama.

Rumah Sewa keras

Assalamu’alaikum. Aku seorang pelajar disebuah kolej yang baru dinaik taraf jadi universiti. Aku nak cerita pasal benda yang jadi masa kali pertama aku masuk rumah sewa ni sampailah sekarang.
Dari semester 1 lagi aku dah duduk rumah sewa sebab aku malas nak duduk asrama.
Rumah sewa aku atas bukit, kawasan perumahan baru dan 2 tingkat. Bagi aku selesa sebab besar dan ada tandas disemua bilik. Tapi sewa bulanan memang mahal.
Rumah ni memang kosong. Tak ada apa² perabut langsung termasuk katil. Tidur kami hanya beralaskan toto. Aku dapat bilik utama.
Masa mula-mula masuk rumah ni memang aku dah rasa seram sejuk sebab aku boleh nampak dan rasa kalau ada benda macam makhluk halus. Lagipun sini kawasan perumahan baru, tak banyak orang lagi waktu tu. Boleh kata setiap malam anjing akan menyalak depan rumah kami. Bukan setakat depan rumah, tapi dekat belakang rumah pun ada. Bukan seekor, tapi banyak. Tambah pelik lagi, anjing selalu menyalak dekat rumah ni ja..
Nak dijadikan cerita, hari pertama masuk aku tidur macam biasa. Takda apa² gangguan lagi. Tapi lepas selang 2-3 hari aku dah mula rasa, dah mula nampak macam-macam.
Benda pertama aku nampak dalam rumah ni waktu aku nak tidur. Mungkin dalam pukul 12 am. Aku nampak ada benda terapung atas badan salah seorang kawan sebilik aku. Nampak macam lembaga besar terapung betul-betul atas kawan aku ni. Waktu tu aku dengan dia tidur berjarak satu tilam. Kiranya tilam tengah-tengah kami kosong sebab kawan sebilik aku yang lain balik kampung.
Bila nampak lembaga tu aku jadi seram. Jantung aku berdegup kencang bagai nak pecah. Tapi aku tak cerita dekat sesiapa sebab aku taknak takutkan orang lain. Aku tahu mesti ada yang jenis penakut. Jadi aku diam² dulu.

Pernah jugak aku nampak ada benda bertenggek dekat atas almari kawan aku.
Aku terdiam tak mampu nak kata apa.
Bila semester baru, aku tukar bilik. Aku pindah bilik hujung sekali. Tempat aku dekat dengan tandas. Jadi biasalah aku akan dengar orang keluar masuk bilik air.
Pukul 3 pagi aku dengar bunyi orang bukak shower mandi dalam bilik air siap nyanyi mendayu-dayu. Bila aku tengok, semua kawan aku tengah nyenyak tidur tempat masing-masing.
Ada satu hari, waktu cuti semester, rancangan aku nak balik rumah sekejap sebab nak ambik beg baju untuk bawak balik kampng. Aku balik dengan sorang kawan aku. Agak-agak hampir sampai rumah tu, kami dah rasa tak sedap hati. Tapi masing-masing diamkan diri. Malam tu kami duduk di ruang tamu sebab rumah kosong orang tak ada. Sambil makan kami sembang. Tiba-tiba dengar bunyi macam ada orang bukak pintu pagar. Bunyi memang kuat padahal kami dah kunci pagar semua. 

Sebab keadaan macam tu, kami tidur atas. Kawan aku tidur awal, aku belum tidur lagi sebab nak kemas beg. Tiba-tiba aku dengar bunyi orang berlari dekat balkoni. Lepas tu dengar bunyi tapak kaki orang naik tangga ke bilik yang kami tidur. Bunyinya macam hentak kaki dengan kuat dekat tangga. Lama bunyi tu. Aku risau sebab hanya kami berdua dalam rumah tu. Aku fikir bukan-bukan, tapi nak buat macam mana. Aku buat macam tak ada apa-apa dan terus cuba tidur.
Esok pagi aku kemas baju, dah siap kami terus keluar dari rumah walaupun tiket tren lagi 2 jam.
Lama-lama aku tak tahan duduk bilik tu aku tidur dekat ruang tamu bawah sampai sekarang. Aku ingatkan akan kurang sikit jelmaan makhluk tu, tapi lagi teruk adalah. Sebab perabut dalam rumah ni tak lengkap, jadi aku boleh nampak ruang sampai ke dapur. Paling seram sekali bila aku nampak benda tu dekat meja makan. Waktu tu aku tidur atas sofa, sofa ni memandang ke meja makan. Memang terkejut sebab aku nampak makhluk baju putih rambut panjang tengah duduk situ. Nasib baik dia pandang belah sana bukan belah aku. Kalau tak, aku taktau apa akan jadi dekat aku.
Ada jugak satu hari aku nampak lembaga tinggi dan besar. Bentuknya macam orang tengah perhati dekat tingkap dapur. Lama dia duduk situ. Dia macam tenung dekat ruang tamu, tempat aku tidur. Aku rasa tak mungkin orang sebab memang besar lagipun belakang rumah tu gelap dan sunyi. Mana ada orang lalu lorong belakang rumah tu. Hantu raya ke?
Pernah aku nampak kepala terbang. Apa orang panggil, penanggal? Malam tu dalam pukul 8pm, aku baru balik dari kedai runcit. Bukan malam sangat, aku nampak benda tu depan rumah jiran aku. Sekali pandang ingat orang, jadi aku tak kisah la. Kali kedua pandang dia terbang. Terus aku lari masuk rumah.
Satu lagi, aku baru balik dari kedai makan dalam pukul 9pm lebih macam tu, tiba-tiba aku nampak makhluk baju putih rambut panjang tunggu depan pintu rumah. Aku terpaksa buat-buat tak nampak. Untuk buktikan aku konon tak nampak dia, aku pusing keliling taman perumahan. Aku sanggup tak masuk rumah sebab aku tak nak lalu sebelah dia. Lama-lama aku dah tak larat nak pusing, rasa nak balik rumah, tapi dia masih ada lagi. Aku terpaksa tabahkan hati buat macam tak ada apa². Aku letak motor betul² sebelah dia. Aku turun, lalu buat macam tak nampak & tak perasan dia. Lepas tu terus kunci pintu rumah. Muka macam tak ada apa, tapi jantung dah berdegup kencang macam baru lepas marathon dengan usain bolt!
Kami dapat cuti 2 minggu lepas habis semester pendek. Aku & kawan aku, kami orang yang terakhir balik. Kami kemas rumah bagi bersih & cantik. Tapi bila aku balik sini minggu lepas, sebab aku orang pertama balik sini, aku tengok keadaan rumah bersepah. Bersepah tak macam yang kami tinggalkan sebelum balik. Rumah bau busuk sangat macam bau bangkai yang berulat, macam sampah yang dah berminggu² tak buang.
Kawan aku simpan motor dia dalam rumah sebab dia tak bawak balik motor. Aku tak tau macam mana boleh ada pisau dalam raga moto dia. Lepas tu, paip air tandas bilik bawah terbuka. Air melimpah dalam tandas tu. Padahal aku orang terakhir guna tandas tu, itupun aku cuma salin baju sebelum balik rumah keluarga dan lantai pun dah kering. Siapa yang buka paip air tu, sedangkan aku orang yang terakhir?
Aku pernah nampak ada benda tengah selongkar tong sampah sambil berkeliaran dekat dapur. Bila aku nak pergi tengok, benda tu macam perasan aku. Dia lari duduk atas rak pinggan mangkuk. Jatuh satu cawan plastik. Aku dah rasa tak sedap hati, tak jadi pergi dapur. Aku buka lampu ruang tamu & tidur dalam cahaya.
Aku ada cerita dekat kawan-kawan aku, tapi ada yang aku simpan sendiri sebab ada kisah yang seram sangat. Lepas aku cerita, mulalah seorang demi seorang buka cerita. Jadi setiap kali mereka nampak atau rasa tak sedap hati, mereka cerita dekat aku.
Banyak lagi benda pelik yang jadi. Dengar bunyi guli, rasa macam orang lalu belakang kita, cawan tiba² jatuh, suis lampu/kipas tiba² tertutup dan tudung saji yang kukuh atas meja tiba² jatuh. Banyak sangat tiba².
Info yang aku dapat daripada orang sini, dulu kawasan perumahan kami ni hutan belantara. Mereka kata dulu orang banyak buang benda dekat sini. Ada yang kata selalu ada bungkuih(pocong) kawasan sini. Mereka sendiri takut nak datang kawasan ni sebab seramnya lain macam, tapi kami berani sangat sewa kawasan ni.

sekian.

Hospital paling berhantu

Kira-kira sepuluh tahun lalu saya berbual dengan seorang sifu qigong bernama Master Wee. Kata Master Wee, dia juga boleh melihat dan berkomunikasi dengan hantu serta roh orang mati.

Sebagai wartawan, saya bertanya kepada Master Wee, di manakah tempat paling berhantu di Lembah Klang? Lalu disebutkannya satu persatu, antaranya sebuah hospital yang besar dan terkenal.

Master Wee turutm mendakwa dirinya boleh nampak roh-roh mundarmandir di tepi jalan di hadapan hospital itu. Adakalanya roh itu mengganggu kenderaan yang lalu lalang hingga menyebabkan berlakunya kemalangan.

“Biasalah… hospitalkan tempat orang mati. Roh mereka ini ada yang tidak aman. Ia berkeliaran di situ,” begitulah cerita dan pendapat Master Wee dalam konteks kepercayaan bangsanya. Sama ada anda mahu percaya atau tidak, terpulang. Hospital mana, maaflah ya. Nanti ada yang takut pula.

Sebuah lagi hospital yang dikatakan berhantu di negara kita adalah Hospital Lady Templer yang terletak di Cheras. Hospital ini dibina pada tahun 1952 dan dirasmikan oleh Lady Templer iaitu isteri kepada bekas Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Gerald Templer. Ia dibina khusus untuk pesakit jantung, paru-paru dan batuk kering.

Pada peringkat awal kakitangan hospital ini terdiri daripada pakar perubatan, tiga orang pegawai perubatan, jururawat, juru x-ray dan pembantu jururawat. Ia mula menerima pesakit pada Ogos 1955.

Hospital Lady Templer bagaimanapun ditutup pada tahun 1985. Hanya sebahagian sahaja yang dibuka dan dijadikan poliklinik sehingga tahun 1995. Khabarnya rumah mayat hospital ini pernah menempatkan korban tragedi 13 Mei 1969.

Sejak penutupan hospital tersebut, diceritakan banyak kisah misteri berlaku di situ, sampailah sekarang. Antaranya jelmaan lelaki berpakaian serba putih seperti doktor berdiri di tepi tingkap, perempuan yang mendukung anaknya, perempuan berambut panjang, suara orang menangis dan mayat tanpa kepala.

Kumpulan-kumpulan paranormal sering menjalankan aktiviti memburu hantu di bangunan terbengkalai ni dan seringkali tidak menghampakan. Pasti ada entiti-entiti aneh berjaya mereka kesan.


TANGISAN MISTERI

Sebenarnya, bukan saja di negara kita, kisah hospital berhantu juga dikatakan berlaku di seluruh dunia. Salah satunya adalah Hospital Jiwa Sai Ying Pun, di Hong Kong. Dibina pada 1892, hospital ini pernah digunakan sebagai kuarters jururawat. Ia kemudian ditawan oleh tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua dan menggunakannya sebagai tempat seksaan para tawanan perang. Banyak nyawa terkorban di sini.

Hospital Sai Ying Pun dijadikan hospital mental pada 1947 hingga 1961 dan seterusnya menjadi pusat rawatan psikiatri sehingga 1971. Selepas ditutup, masyarakat setempat sering terdengar suara wanita menangis serta bunyi dentuman yang menakutkan dari dalam bangunan tersebut.

Mereka juga sering terdengar bunyi tapak kaki orang berjalan, jelmaan seorang lelaki di tingkat dua yang kemudiannya tiba-tiba terbakar serta kelibat-kelibat aneh berkeliaran pada waktu malam.

Hospital Nocton Hall di Engand pula asalnya merupakan kediaman mewah pembesar negeri. Ia kemudian digunakan oleh kerajaan Amerika Syarikat sebagai hospital tenteranya semasa Perang Dunia Kedua. Bagaimanapun, hospital lama itu dibiarkan terbengkalai mulai 1995 ekoran berlaku kebakaran yang menyebabkan banyak kerosakan pada bangunan tersebut.

Pelbagai kejadian misteri berlaku di sini. Antara yang paling kerap dilihat adalah kelibat seorang gadis berkeliaran di dalam bangunan itu sambil menangis teresak-esak dengan suara yang amat sayu. Ramai yang mengadu mereka akan terjaga pada pukul 4.30 pagi dan melihat si gadis menangis di hujung katil.

Dikatakan gadis itu adalah bekas seorang pekerja di hospital berkenaan yang telah dirogol dan kemudian dibunuh oleh anak lelaki pemilik Nocton Hall sebelum ia dijadikan hospital tentera.

Hospital Royal Hope di Florida, Amerika Syarikat (AS) dibina pada 1784. Ia dijadikan hospital tentera Sepanyol sehingga 1821, sebelum diruntuhkan atas sebab-sebab tertentu. Sebuah bangunan baru kemudiannya dibina menjadi rumah kediaman mangsa-mangsa Perang Seminole, tetapi ketika kerja-kerja pemasangan paip dilakukan, para pekerja mendapati bangunan tersebut rupa-rupanya dibina di atas tanah perkuburan masyarakat asli Amerika.

Dikatakan ramai yang terdengar suara rintihan dan jeritan dari bilik-bilik kosong di situ. Pada waktu yang lain, katil tiba-tiba bergerak sendiri, teko air menggelongsor di atas lantai dan meja, serta kedengaran bunyi tapak kaki orang berjalan di dalam bilik kosong.


KEJADIAN ANEH

Satu lagi hospital yang disenaraikan sebagai antara paling berhantu di dunia adalah Hospital Whittingham, di Preston, Lancashire, England. Dibuka pada 1873, ia merupakan hospital mental terbesar di England pada ketika itu.

Banyak kejadian aneh berlaku di sini. Dikatakan banyak kali berlaku pesakit tiba-tiba terkunci di dalam sebuah bilik kecil di bawah tangga dan di dalam bilik air.

Paling menakutkan adalah rambut pesakit ditarik “sesuatu” dan leher mereka dijerut dengan tuala basah hingga tidak sedarkan diri.

Ada pihak mengaitkan kejadiankejadian misteri ini dengan peristiwa seorang pesakit tua yang mati disembelih oleh seorang jururawat.

Namun begitu, barangkali daripada sekian banyak hospital berhantu di dunia ini, yang paling misteri adalah Waverly Hills Sanatorium, di Louiseville, Kentucky, AS. Hospital yang dibina pada 1908 ini asalnya digunakan sebagai pusat rawatan pesakit batuk kering yang merebak ketika itu.

Ramai yang meninggal dunia ketika dirawat di situ. Antara kisah misteri paling terkenal berlaku di pintu masuknya.

Dikatakan ramai pengunjung mendakwa terserempak dengan jelmaan seorang wanita tua berlari di situ dalam keadaan badannya diikat rantai dan dipenuhi luka serta darah.

Sambil berlari wanita tua itu meraung meminta tolong sebelum hilang begitu saja bagaikan kabus.

Di tingkat tiga bangunan tersebut pula kelihatan kelibat seorang gadis.Diceritakan ada kalanya gadis ini muncul seperti manusia biasa dan berbual dengan pengunjung yang hadir di hospital.

Pada waktu yang lain dia dilihat berdiri di tepi tingkap dan memandang ke luar dengan wajah yang sayu. Mereka menamakannya sebagai Mary.

Diceritakan bahawa kejadiankejadian misteri yang berlaku di sini ada kaitan dengan peristiwa seorang ketua jururawat membunuh diri pada 1928 kerana ditinggalkan kekasih dalam keadaan hamil.

Ia berlaku di Bilik 502. Kononnya juga berlaku kejadian seorang jururawat membunuh diri denganterjun dari tingkap bangunan itu pada 1932. Sejak itu kelibat seorang jururawat muda sering dilihat berlegar-legar di hospital berkenaan.

Ada juga yang mendakwa ternampak jelmaan seorang kanak-kanak di bumbung hospital. Kononnya suatu ketika dahulu budak itu ditempatkan di atas bumbung sebagai satu proses terapi bagi mendapatkan pancaran cahaya matahari secara optimum.

Tempat paling berhantu adalah di tingkat empat. Bayangan-bayangan aneh dilihat mundar-mandir, daun pintu terbuka dan tertutup sendiri dengan kuat serta suara jeritan dan bunyi bising kedengaran pada waktu-waktu tertentu.

Ada juga yang mendakwa terhidu bau masakan dari bahagian dapur yang telah lama terbiar. Malah ada yang mendakwa melihat jelmaan tukang masak bekerja di situ.

Di kaki lima hospital pula terdengar suara bisikan, tangisan dan jeritan misteri.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/pendidikan/sastera/hospital-paling-berhantu-1.232836#ixzz4kj6AK2lS
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kebun Pak Mat

Assalamualaikum semua, nama aku Suraya. Sekarang aku pelajar universiti. Aku nak cerita pengalaman kakak aku yang ternampak hantu sewaktu kami cuti sekolah di kampung. 

Okay ini cerita dari kakak.
Haritu kakak saja pergi belakang rumah nenek naik basikal. Agak jauh kakak aku pergi untuk ambil angin. Umur kakak aku waktu tu 17 tahun dan aku 12 tahun, jadi dia agak bebas. Waktu tu dalam pukul 6pm, jadi dia tak risau sebab masih terang. 
Sampai ke kebun pakmat kakak aku menjelajah. Kebun pakmat memang tak terjaga. Tak berapa jauh dari rumah nenek aku tapi agak terlindung sebab sekitarnya hutan. Kebun tu agak luas dan ada banyak buah-buahan walaupun terbiar. Pokok pisang, rambutan, durian dan banyak lagi. Tambah lagi waktu tu musim rambutan. Banyak rambutan bersepah di tanah dan tergantung di pokok. Walaupun kakak aku geram nak petik, tapi dia tak petik. Sebab depan rumah nenek pun ada banyak buah rambutan. 
Tengah asyik kakak aku mengayuh, tiba-tiba kakak aku dengar suara macam berborak tapi dalam keadaan berbisik. Tambah pelik lagi, suara tu bukan dengar macam dari bawah, tapi atas pokok.
Kakak aku kata dia buat muka selamba tapi dalam hati hanya Allah je yang tahu. Perlahan-lahan dia kayuh lagi laju untuk patah balik ke rumah nenek. Kayuh punya kayuh, besi roda tayar basikal pulak tercabut. Memang tak ada masa untuk dia betulkan, dia jalan dengan laju sambil bawak basikal.
Masa tengah berjalan, dia masih dengar suara tu. Bahasanya tak difahami, tapi makin kuat. Perasaan ingin tahu kakak aku meluap jadi dia pun mendongak keatas untuk tengok siapa atau apa yang bercakap. Tak tahu dari mana kekuatan dia untuk tengok, tapi memang dia betul-betul terkejut bila nampak ada satu pontianak terbang atas pokok. Pontianak tu terbang kehulu hilir sekitar pokok pisang. Bajunya warna merah darah dengan rambut yang sangat panjang tapi kusut. Kakak aku kaku, memang betul-betul kelu lidah waktu tu.
Yang paling menakutkan, pontianak tu pandang kearah kakak aku macam marah sebelum makhluk tu mengilai. Kakak aku apa lagi, terus lari tinggalkan basikal. Sempat kakak aku toleh belakang dan benda tu ikut kakak aku macam kejar sambil mengilai. Kakak aku lari sampai kawasan yang terbuka. Dia toleh pontianak tu dah tak ada. Itulah kali pertama kakak aku nampak hantu, jadi esoknya dia demam.
Esoknya aku cerita dengan kawan-kawan sekampung. Sebenarnya mereka semua dah tau yang kebun pakmat memang macam ada "penjaga". Ramai yang dah nampak benda menakutkan waktu lalu tepi kebun pakmat. Ada yang kata pakmat sibuk uruskan kerja dia bandar sebab tu dia "upah" penjaga untuk jaga kebun dia. Sama ada cerita itu betul aku pun tak tahu. 
Tapi bagi aku, orang yang bela "penjaga" ni agak selfish. Iyelah, kampung ni bukan kampung dia sorang je. Walaupun itu tanah dia, tapi fikirlah orang yang lalu tepi jalan untuk melintas. Bila jadi benda-benda macam ni, orang trauma sebab nampak benda yang tak sepatutnya kita nampak. Contohnya kakak aku. Kakak aku pun satu, berani betul pergi hutan sendiri. Apa-apa pun, aku harap cerita aku ni dapat bagi pengajaran.